Thursday, May 2, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Eksport Turkiye, M’sia nikmati layanan bebas cukai

    KUALA LUMPUR, 30 SEPT – Kira-kira 99 peratus eksport Turkiye ke Malaysia akan menikmati layanan bebas cukai, manakala hampir 86 peratus eksport Malaysia ke negara itu turut menerima kelebihan yang sama di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA), berkuat kuasa 1 Jan 2023.

    Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Ekonomi dan Perdagangan Bersama (JETC)  yang diadakan di Ankara pada Khamis, dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan rakan sejawatan Menteri Perdagangan Turkiye Dr Mehmet Mus.

    JETC itu diadakan bersempena dengan pemeteraian Protokol untuk Meminda Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Turkiye untuk meluaskan MTFTA sedia ada yang berkuat kuasa pada 1 Ogos 2015.

    Protokol itu yang berjaya disiapkan dalam tempoh 15 bulan, kini telah diperluaskan skopnya untuk merangkumi perdagangan dalam perkhidmatan, pelaburan dan e-dagang.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkenaan mesyuarat JETC itu, Mohamed Azmin berkata pengembangan skop MTFTA akan meningkatkan antara lain aliran silang pelaburan serta meningkatkan mobiliti profesional antara Malaysia dan Turkiye.

    Langkah itu juga akan melonjakkan lagi keyakinan pengguna dalam urus niaga dalam talian melalui penyelarasan peraturan dan penggunaan mekanisme pemudahcara manakala perusahaan mikro, kecil dan sederhana turut  mendapat manfaat daripadanya kerana ia akan meningkatkan penyertaan mereka dalam perdagangan antarabangsa. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...