Saturday, May 4, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Elon Musk beli Twitter AS$44 bilion

    NEW YORK, 26 APRIL – Elon Musk, lelaki terkaya dunia, mencapai perjanjian semalam untuk membeli Twitter dengan harga AS$44 bilion, menamatkan kisah panjang dengan ugutan pengambilalihan sebelum memberikannya kawalan ke atas salah satu platform media sosial paling berpengaruh di dunia.

    Twitter berfungsi sebagai megafon untuk bekas presiden Amerika Syarikat Donald Trump sebelum platform itu mengharamkannya, dan Musk berkata dia ingin memperbaharui apa yang dilihatnya sebagai isi kandungan melampau platform.

    “Kebebasan bersuara adalah asas demokrasi yang berjaya, dan Twitter ialah medan bandar digital di mana perkara yang penting untuk masa depan kemanusiaan diperdebatkan,” kata Musk dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Twitter.

    “Saya juga mahu menjadikan Twitter lebih baik dengan mempertingkat produk menerusi ciri-ciri baharu, menjadikan algoritma sumber terbuka bertujuan menambah kepercayaan, menghapuskan spam serta membuktikan kebenaran semua manusia.”

    Saham Twitter ditutup 5.6 peratus lebih tinggi dalam perniagaan di New York.

    Musk membeli sembilan peratus saham dalam Twitter pada awal April, seterusnya menawarkan untuk membeli seluruh syarikat, memetik misi untuk memelihara kebebasan bersuara.

    Sementara lembaga firma pada mulanya berkata ia akan mengkaji semula tawaran itu, namun ia menolak dan mengamalkan pelan ‘pil racun’ yang akan menyukarkan Musk untuk menguasai kedudukan dalam firma.

    Namun pada minggu lalu, Musk, dengan kekayaan datang daripada kenderaan elektrik Tesla serta usaha sama lain, berkata dia telah memperuntukkan AS$46.5 bilion dalam pembiayaan yang terdiri daripada hutang, pinjaman dan harta peribadinya.

    Firma yang diniagakan di bursa saham itu kini menjadi syarikat swasta milik Musk, yang berunding harga pembelian AS$54.20 sesaham, kata Twitter. – AFP

    Aplikasi Twitter kelihatan di peranti digital kelmarin di San Diego. Elon Musk telah mencapai perjanjian untuk membeli Twitter dengan harga AS$44 bilion kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...