LABUAN, 23 FEB – Pantai Tanjung Aru, Lubok Temiang, Nagalang dan Pohon Batu kini menjadi tempat santuari dan menetas bagi spesies penyu hijau (Chelonia mydas) susulan penemuan reptilia itu baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Perikanan Labuan, Faizal Ibrahim Suhaili berkata trend pendaratan penyu di sekitar pulau itu didapati telah berubah dari taman laut ke pesisir pantai.
“Kami mengenal pasti pantai-pantai ini telah menjadi lokasi pendaratan penyu hijau selepas penduduk kampung dan pemancing menemukan reptilia itu mendarat.
“Sejak Januari hingga Sabtu lepas (18 Februari) tiga ekor penyu hijau ditemukan di pantai Tanjung Aru,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada dua individu yang menemukan reptilia itu pada tahun ini.
Faizal Ibrahim berkata pada 29 Oktober tahun lepas, seorang penduduk kampung di pantai Pohon Batu menemukan sarang penyu karah dengan 55 anak penyu yang baru menetas.
“Selepas menerima laporan daripada ketua kampung tentang penemuan itu, kami segera mengumpulkan anak penyu itu dan menempatkannya di Pusat Konservasi Penyu di Pulau Rusukan Besar sebelum melepaskan ia ke laut,” katanya.
Faizal Ibrahim berkata berdasarkan trend baharu pendaratan penyu, pihaknya akan menubuhkan ‘renjer penyu’ melibatkan penduduk kampung pada tahun ini.
“Kami akan melantik beberapa penduduk kampung sebagai renjer untuk memantau pendaratan penyu dan melindungi haiwan marin itu di kawasan masing-masing.
“Kami akan memohon peruntukan untuk tujuan ini kerana kami percaya trend penyu mendarat (di empat pantai ini) akan berterusan,” katanya.
Beliau juga berkata Jabatan Perikanan Labuan mengalu-alukan penjualan telur penyu kepada jabatan itu (berdasarkan nilai pasaran semasa) untuk menghalang penjualan secara haram haiwan marin itu yang tergolong dalam spesies terancam. – Bernama