Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Espargaro juara MotoGP Catalunya

    MONTMELO, 26 MEI – Pelumba Sepanyol, Aleix Espargaro, yang mengumumkan dia akan bersara hujung musim ini, memenangi perlumbaan MotoGP Catalunya semalam.

    Penunggang Aprilia berusia 34 tahun itu – yang berasal dari Catalonia – menggunakan kesempatan apabila juara dunia dua kali, Francesco Bagnaia mengalami kemalangan dan terjatuh pada pusingan terakhir.

    Espargaro boleh melengkapkan minggu bermakna dengan turut menjuarai perlumbaan MotoGP malam ini – dia pulang dengan kemenangan berganda tahun lalu – yang mana dia bermula di petak utama.

    Ketika dia mengesahkan prestasi cemerlang ketika ini, juara dunia enam kali, Marc Marquez turut tampil penuh keyakinan.

    Penunggang Ducati-Gresini berusia 31 tahun itu berakhir di tangga kedua perlumbaan selepas persembahan buruk pada sesi kelayakan yang mana dia hanya mencatat keputusan ke-14 terpantas.

    Pemimpin kejuaraan, Jorge Martin, tidak berada di kemuncak prestasinya, tetapi pelumba Sepanyol itu berusaha habis-habisan dengan Ducati-Pramac untuk menduduki tempat keempat dan melebarkan pendahuluannya dalam kedudukan keseluruhan.

    Bagnaia dilihat bersedia untuk mengurangkan jurang pendahuluan sebanyak 12 mata apabila dia memasuki pusingan terakhir dengan kelebihan yang jelas, tetapi harapannya musnah di selekoh kelima, tergelincir dari tempat kedua dalam kedudukan keseluruhan ke tangga keempat apabila Marquez dan rakan sepasukannya di Ducati, Enea Bastianini, memintasnya.

    Marquez ketinggalan 37 mata di belakang Martin menjelang perlumbaan keenam kempen manakala Bagnaia ketinggalan 44 mata.

    Bagnaia bukan satu-satunya penunggang yang terjatuh, Raul Fernandez dari Sepanyol dan Brad Binder dari Afrika Selatan juga mengalami kemalangan ketika mereka mendahului perlumbaan. – AFP

    Espargaro meraikan kejayaan di atas podium selepas perlumbaan tersebut di Litar Catalunya, Montmelo di pinggir Barcelona. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda