Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU dakwa platform X ‘mengelirukan’ pengguna dengan tanda semak biru

    BRUSSELS, 12 JULAI – Platform X milik jutawan teknologi, Elon Musk didakwa mengelirukan pengguna dengan tanda semak biru bagi akaun yang disahkan dan melanggar peraturan kandungan EU, menurut kenyataan dari Brussels hari ini. Dakwaan itu boleh membawa kepada denda yang besar.

    Pengawal selia EU tidak berpuas hati dengan sistem lencana biru di bawah pemilikan Musk sejak sesiapa sahaja kini boleh mendapatkannya dengan langganan premium, berbanding sebelum ini yang dikhaskan untuk akaun yang disahkan seperti pemimpin, syarikat dan wartawan, selepas kelulusan.

    Amaran rasmi terhadap X adalah yang pertama di bawah Akta Perkhidmatan Digital (DSA), undang-undang menyeluruh yang memaksa syarikat digital melakukan lebih banyak usaha untuk mengawal kandungan dalam talian. Ia susulan siasatan yang dilancarkan pada Disember 2023.

    Platform X menjadi syarikat ketiga dalam tempoh tiga minggu yang berdepan tindakan EU kerana melanggar peraturan baharu yang bersejarah, selepas Brussels memberi amaran kepada Apple dan Meta untuk mengubah cara mereka atau berdepan denda besar bagi pelanggaran undang-undang kedua yang dikenali sebagai Akta Pasaran Digital (DMA).

    Kini Suruhanjaya Eropah telah memberitahu X bahawa pandangan awal mereka mendapati ia ‘melanggar’ DSA, dengan hujah bahawa rangkaian sosial itu ‘mengelirukan’ pengguna dengan peraturan lencana biru yang baharu.

    Suruhanjaya itu juga menuduh X gagal mematuhi peraturan mengenai ketelusan pengiklanan kerana ia ‘tidak menyediakan pangkalan data iklan yang boleh dicari dan boleh dipercayai’ dan gagal memberikan penyelidik akses kepada data awam.

    Denda di bawah DSA boleh mencecah sehingga enam peratus daripada jumlah perolehan tahunan syarikat di seluruh dunia dan memaksa ia membuat perubahan untuk menangani pelanggaran tersebut. – AFP

    Gambar menunjukkan logo platform X media sosial AS di Nantes pada 7 Mac lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda