Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fadhilat berjemaah tetap diperolehi selagi imam belum memberi salam

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Kelebihan pahala sembahyang berjemaah adalah sangat hebat, iaitu mendapat ganjaran 27 darjat berbanding sembahyang seorang diri.

    Oleh kerana itu, tidak menghairankan kesungguhan sesetengah orang untuk menyertai sembahyang berjemaah, selain untuk memenuhi tuntutan syara‘ melazimi sembahyang secara berjemaah, juga untuk merebut ganjaran pahala dan fadhilat sembahyang berjemaah yang hebat itu.

    Kelebihan mengerjakan sembahyang fardhu dengan berjemaah adalah sangat banyak dan telah diketahui umum. Antaranya sebagaimana yang disebutkan di dalam sebuah hadits riwayat Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Sembahyang berjemaah itu lebih afdal dari sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat.(Hadits riwayat Muslim)

    Kadang kala terjadi apabila seseorang tiba di belakang imam untuk sembahyang berjemaah, dia mendapati imam sedang duduk Tahiyyat Akhir dan pada jangkaannya imam tersebut sebentar lagi akan memberi salam dan mengakhiri sembahyangnya. Maka dalam keadaan seperti ini timbul pertanyaan apakah dia boleh memasang niat untuk sembahyang berjemaah bersama imam tersebut lalu memperolehi ganjaran dan fadhilat berjemaah?

    Gambar Canva

    FADHILAT BERJEMAAH TETAP DIPEROLEHI SELAHI IMAM BELUM MEMBERI SALAM

    Menurut pendapat ash-shahih, seseorang akan tetap memperolehi fadhilat berjemaah selama mana dia sempat mengikut imam pada mana-mana bahagian sembahyang imam, kecuali dalam sembahyang fardhu Jumaat, sama ada pada bahagian awal sembahyang imam ataupun pada pertengahannya, dan sekalipun hanya sebentar (masa yang sangat singkat) sahaja, selama mana imam masih belum mengakhiri sembahyangnya, iaitu imam belum memberi salam yang pertama dalam sembahyang.

    Yang dimaksudkan dengan ‘imam belum memberi salam yang pertama’ itu ialah imam belum sampai kepada huruf mim pada kalimat alaikum pada lafaz salam yang pertama Assalamualaikum. Inilah pendapat Imam Ibnu Hajar Rahimahullah.

    Sekiranya makmum mengangkat Takbiratul Ihram ketika imam mula memberi salam yang pertama, ataupun makmum mengangkat Takbiratul Ihram setelah imam mula memberi salam yang pertama, akan tetapi dalam kedua-dua keadaan tersebut imam belum sampai kepada huruf mim pada perkataan alaikum, kemudian sejurus makmum sempurna mengangkat Takbiratul Ihram imam pun selesai memberi salam yang pertama, maka dalam keadaan seperti ini, hukumnya adalah sah dia menjadi makmum serta memperolehi fadhilat berjemaah. Ini kerana niat dan Takbiratul Ihram makmum telah sempurna berlaku atau terjadi sebelum imam selesai memberi salam yang pertama.

    Bagaimanapun sekiranya Takbiratul Ihram makmum itu seiringan (bersamaan) ataupun bertepatan dengan imam selesai memberi salam pertama, maka dalam keadaan seperti ini dia tidak memperolehi sembahyang berjemaah, tetapi hanya dikira sembahyangnya itu sebagai sembahyang secara sendirian.

    Dari itu, sekiranya seseorang memasang niat menjadi makmum pada ketika imam sedang duduk Tahiyyat Akhir, maka dia akan memperolehi fadhilat sembahyang berjemaah, iaitu selagi imam belum memberi salam pertama dalam sembahyang, dan sekalipun dia tidak sempat duduk Tahiyyat Akhir bersama-sama imam.

    Dalam keadaan seperti ini, iaitu makmum yang mengikut imam ketika imam sedang duduk Tahiyyat Akhir, makmum tersebut akan memperolehi fadhilat berjemaah. Akan tetapi makmum tidak dikira mendapat satu raka‘at bersama imam kerana dia tidak sempat rukuk bersama-sama imam.

    Dalam keadaan seperti yang disebutkan di atas, perkara utama yang perlu diambil perhatian dan dilakukan oleh seseorang yang hendak sembahyang berjemaah bersama imam ialah disyaratkan kepadanya untuk terlebih dahulu memasang niat, sama ada dengan niat mengikut imam ataupun menjadi makmum ataupun berjemaah.

    Demikian juga, makmum akan tetap memperolehi fadhilat berjemaah sekalipun makmum tersebut mengikut imam hanya pada sebahagian awal sembahyang imam sahaja dan tidak meneruskan sembahyang berjemaah tersebut sehingga ke penghujungnya, iaitu sehingga imam memberi salam dalam sembahyang disebabkan suatu keuzuran.

    Sebagai contoh, makmum mengikut imam daripada awal sembahyang imam, kemudian dia (makmum) mufaraqah, iaitu berpisah daripada mengikut imam dalam sembahyang berjemaah disebabkan suatu keuzuran, ataupun imam berhenti daripada menjadi imam disebabkan wudhunya terbatal, ataupun sejurus dia mengikut imam, sembahyang imam pun menjadi batal, maka dalam semua keadaan yang disebutkan ini makmum tetap memperolehi fadhilat berjemaah sepenuhnya, iaitu 27 kali ganda.

    Bagaimanapun makmum yang sempat berjemaah bersama-sama imam sepanjang sembahyang imam, iaitu dari awal (Takbiratul Ihram imam) sehingga akhir sembahyang imam, (imam memberi salam), akan memperolehi fadhilat yang paling sempurna. Inilah pendapat al-madzhab ash-shahih.

    MUFARAQAH

    Mufaraqah ialah berpisah daripada mengikut imam dalam sembahyang berjemaah.

    Mufaraqah itu boleh dilakukan sekalipun tanpa sebarang keuzuran. Bagaimanapun mufaraqah yang dilakukan tanpa sebarang keuzuran adalah dihukumkan makruh dan akibatnya fadhilat berjemaah akan luput.

    Berbeza halnya dengan makmum yang mufaraqah disebabkan oleh perkara-perkara tertentu sebagaimana yang akan disebutkan selepas ini. Maka perbuatannya itu tidak dihukumkan makruh dan juga tidak mengakibatkan dia luput fadhilat berjemaah. Antaranya ialah mufaraqah disebabkan suatu keuzuran, seperti:

    (i) Sakit.
    (ii) Tidak mampu menahan diri daripada hadats umpamanya air kecil (kencing) atau air besar, dan selain keduanya seperti kentut, muntah, darah yang mengalir daripada luka, serta perkara-perkara yang boleh mengganggu dan menghilangkan kekhusyukan seseorang itu dalam sembahyang dengan syarat tertentu.
    (iii) Takut akan kezaliman.
    (iv) Kerana imam memanjangkan sembahyang.
    (v) Kerana imam meninggalkan sunat Maqsudah (Ab‘adh) misalnya Tahiyyat Awal atau Qunut.

    Namun menurut pendapat ar-rajih, sembahyang makmum tetap sah, yakni tidak batal dengan perbuatannya meninggalkan berjemaah itu sama ada tanpa keuzuran ataupun meninggalkannya dengan keuzuran.

    Bersambung

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda