Saturday, April 27, 2024
26.1 C
Brunei

    -

    Terus raih ganjaran pahala pada bulan Ramadan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    TUTONG, 26 MAC – Dalam menyelami lagi keindahan bulan suci Ramadan, Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Daerah Tutong dan Kumpulan Dhiyaul Iman dengan kerjasama Pusat Belia Tutong telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa, dan Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah serta Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir di Pusat Belia Daerah Tutong, baru-baru ini.

    Hadir bagi sama-sama menyertai majlis kerohanian berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan selaku Pengerusi Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Daerah Tutong.

    Sejurus bersungkai, sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak telah diimamkan oleh salah seorang ahli kumpulan berkenaan, Awang Mohd Hazwan Nizam bin Ibrahim diikuti dengan sembahyang Sunat Tarawih yang diimamkan oleh Awang Mohammad Najiihuddin bin Nooralizam selaku ahli Kumpulan Dhiyaul Iman.

    Manakala sembahyang Sunat Witir diimamkan oleh Awang Mohammad Amirul bin Haji Ismail yang juga ahli Kumpulan Dhiyaul Iman.

    Menurut Yang Berhormat Awang Abdul Aziz, dengan adanya majlis sedemikian, ia mendidik jiwa raga untuk terus meraih ganjaran pahala lebih-lebih lagi pada bulan penuh rahmat ini terutamanya dalam mendirikan sembahyang secara berjemaah yang pastinya mempunyai kelebihan darjat berbanding sembahyang secara perseorangan di samping mengeratkan jalinan persaudaraan sesama Islam menerusi menikmati iftar bersama sambil berkongsi rezeki pelbagai juadah berbuka.

    Majlis turut diserikan dengan persembahan alunan seni qasidah daripada ahli Kumpulan Dhiyaul Iman.

    Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bergambar ramai bersama ahli Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Daerah Tutong dan ahli Kumpulan Dhiyaul Iman semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...