Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival PMKS Brunei 2024 buka tirai

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 FEB – Festival PMKS Brunei 2024 yang merupakan sebuah acara utama Darussalam Enterprise (DARe) mencerminkan komitmen bagi memupuk pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Brunei.

    Acara itu bukan sahaja bermatlamat bagi meningkatkan kesedaran PMKS melalui penyediaan peluang untuk mengetengahkan perkhidmatan dan produk mereka pada skala kebangsaan tetapi ia juga menjadi sebuah platform bagi mengenal pasti PMKS tempatan yang berpotensi untuk berkembang maju melalui eksport atau penggantian import.

    Pada masa yang sama, festival itu juga meraikan budaya keusahawanan tempatan serta meningkatkan kesedaran mengenai apa yang ditawarkan oleh DARe dan agensi-agensi lain kepada menyokong pembangunan PMKS di dalam negara.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) dan DARe, Daniel Leong dalam kata alu-aluannya pada Majlis Perasmian Festival PMKS Brunei 2024 di Dewan 1 BRIDEX, Jerudong, hari ini.

    Hadir pada majlis perasmian berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) dan Timbalan Pengerusi Bersama LKED dan DARe, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.

    Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bersama Daniel Leong melancarkan Festival PMKS Brunei 2024. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara yang terlibat bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Daniel menyatakan bahawa festival selama empat hari itu disertai oleh lebih 200 peserta yang merangkumi pelbagai sektor perniagaan yang mengetengahkan pelbagai jenis perkhidmatan dan produk tempatan serta agensi-agensi relevan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan perniagaan.

    Festival yang dianjurkan oleh LKEB melalui DARe dan disokong oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi itu berlangsung hingga 3 Mac.

    Dengan tema Dare to Transform: Building Sustainable MSMEs, festival bermatlamat bagi mempromosi daya tahan dan pertumbuhan PMKS di Brunei.

    Sepanjang acara itu, para hadirin akan berpeluang untuk mengikuti pelbagai aktiviti termasuk sesi pemadanan perniagaan, peluang-peluang rangkaian, persidangan, forum, pembentangan dan sesi perkongsian perniagaan.

    Selaras dengan matlamat kemampanan acara, para hadirin digalakkan untuk membawa beg yang boleh digunakan semula dan menggunakan bas ulang-alik yang ditempatkan di kawasan letak kereta Jerudong Park Amphitheatre.

    Dengan menggunakan bas ulang-alik berkenaan, mereka berpeluang untuk mengambil bahagian dalam acara cabutan bertuah yang diadakan sepanjang acara berkenaan. Di samping itu, pembayaran tanpa tunai melalui Pocket juga akan dipromosikan yang menawarkan para hadirin peluang-peluang tambahan bagi memenangi hadiah.

    Manakala itu, bagi keluarga-keluarga yang menghadiri festival berkenaan, terdapat pelbagai acara mainan dan aktiviti bagi orang dewasa dan kanak-kanak termasuk stesen permainan PS5, permainan pertukaran kad, bouncer, bubble houses dan taman permainan.

    Festival itu menjanjikan sebuah pengalaman yang sukar dilupakan yang menyatupadukan komuniti dalam menyokong amalan mampan dan keusahawanan tempatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda