Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina setuju jadi pusat pemprosesan visa AS

    MANILA, FILIPINA, 20 OGOS – Filipina telah bersetuju dengan permintaan Amerika Syarikat (AS) untuk menjadi tuan rumah sementara pusat pemprosesan visa pendatang AS bagi bilangan terhad warga Afghanistan yang berhasrat untuk menetap di Amerika, umum sekutu perjanjian itu hari ini.

    Kelulusan kerajaan Filipina terhadap permintaan itu, yang pada mulanya berdepan kebimbangan tempatan berhubung potensi isu keselamatan dan undang-undang, mencerminkan bagaimana hubungan antara Manila dan Washington telah bertambah erat di bawah Presiden Ferdinand Marcos Jr, yang menerajui tampuk pentadbiran pada 2022.

    Jabatan Hal Ehwal Luar di Manila berkata perjanjian itu sedang melalui prosedur domestik terakhir dan perlu disahkan oleh Marcos sebelum ia berkuat kuasa. Ia tidak memberikan butiran lain, termasuk berapa ramai warga Afghanistan akan dibenarkan tinggal sementara di Filipina pada bila-bila masa sementara visa pendatang khas mereka untuk penempatan semula ke AS disiapkan.

    Seorang pegawai kanan Filipina, bagaimanapun, memberitahu The Associated Press bahawa hanya 150 hingga 300 pemohon akan ditempatkan di Filipina di bawah perjanjian ‘satu kali’.

    Pegawai yang mempunyai pengetahuan tentang rundingan itu bersetuju untuk bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana tidak diberikan kuasa untuk bercakap secara terbuka.

    Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar, Penolong Setiausaha, Teresita Daza berkata bahawa warga Afghanistan harus mendapatkan visa untuk memasuki Filipina dan akan tertakluk kepada ‘tapisan keselamatan penuh.’ Setiap pemohon visa boleh tinggal tidak lebih daripada 59 hari.

    Kerajaan AS akan menanggung kos penginapan warga Afghanistan berkenaan, termasuk perbelanjaan makanan, perumahan, keselamatan dan perubatan serta pengangkutan, kata Daza.

    Beliau menambah kerajaan AS dan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi selaku pengurus kemudahan di mana pemohon visa Afghanistan akan ditempatkan, akan memastikan mereka mendapat sokongan sosial, pendidikan, agama dan lain-lain yang mencukupi. – AP

    Gambar fail menunjukkan Presiden Joe Biden (kanan) berjabat tangan dengan Presiden Ferdinand Marcos Jr semasa pertemuan mereka di Pejabat Oval Rumah Putih di Washington, pada 1 Mei 2023. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda