Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gencatan senjata 4 hari di utara Shan, Myanmar

    YANGON, 15 JULAI – Satu perikatan kumpulan bersenjata minoriti etnik di Myanmar, kelmarin, mengumumkan persetujuan mereka untuk mengadakan gencatan senjata selama empat hari dengan junta di negeri utara Shan selepas pertempuran yang menyaksikan pejuang mereka merampas wilayah daripada tentera di sepanjang lebuh raya strategik ke China.

    Kawasan tersebut telah digegarkan oleh pertempuran sejak akhir bulan lalu apabila gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Tiga Bersaudara memperbaharui serangan terhadap tentera junta di sepanjang jalan menuju ke wilayah Yunnan, China.

    Pertempuran tersebut telah memusnahkan gencatan senjata yang ditaja oleh Beijing sebelum ini yang pada Januari telah menghentikan serangan awal oleh pakatan tersebut – yang terdiri daripada Tentera Arakan (AA), Tentera Pakatan

    Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA) dan Tentera Pembebasan Nasional Ta’ang (TNLA).

    “Kami… menunjukkan kerjasama dengan China dengan bersetuju mengadakan gencatan senjata selama empat hari di utara Shan dari 14 hingga 18 Julai,” kata Mejar Jeneral Tar Bhone Kyaw dari TNLA kepada AFP.

    Perjanjian baharu itu tidak merangkumi wilayah Mandalay yang berdekatan, di mana anggota pakatan dan penentang tentera lain telah bertempur dengan tentera junta dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kata Tar Bhone Kyaw.

    AFP tidak dapat menghubungi jurucakap junta untuk mendapatkan komen.

    China merupakan sekutu utama dan pembekal senjata kepada junta, tetapi penganalisis berkata negara itu juga mengekalkan hubungan dengan kumpulan bersenjata etnik di Myanmar yang menguasai wilayah berhampiran sempadannya.

    Pemimpin tertinggi Beijing akan berkumpul hari ini untuk Plenum Ketiga Parti Komunis yang penuh rahsia – satu mesyuarat politik yang penting. – AFP

    Tar Bone Kyaw bergambar ketika meninjau pembinaan semula rumah yang rosak berikutan serangan udara tentera Myanmar di Kone Tar, Perbandaran Namhsan di negeri Shan utara Myanmar. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda