Tuesday, September 17, 2024
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gol lewat Ronaldo bantu Portugal menang

    LISBON, 9 SEPT – Jaringan lewat Cristiano Ronaldo memastikan Portugal menang 2-1 ke atas Scotland ketika gol ke-901 penyerang itu melengkapkan kebangkitan bersemangat pada aksi Liga Negara-Negara, kelmarin.

    Ronaldo mencapai gol karier ke-900 dengan jaringan ke-131 di peringkat antarabangsa ketika menang ke atas Croatia, pada Khamis lalu.

    Pemain berusia 39 tahun itu tidak menunjukkan tanda-tanda berpuas hati dengan pencapaian luar biasa itu apabila dia tampil dari bangku simpanan untuk membantu Portugal meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam Kumpulan A1 Liga Negara-Negara.

    Estadio da Luz di Lisbon bangkit dengan sorakan dan laungan nama penyerang Al-Nassr itu selepas dia meledak gol kemenangan dua minit sebelum tamat.

    Pada hari jadi ke-30, pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes menjaringkan gol penyamaan Portugal pada masa kedua selepas bekas rakan sepasukannya di Old Trafford, Scott McTominay mencetak gol pendahuluan mengejutkan buat Scotland.

    Aksi Cristiano Ronaldo menjaringkan gol semasa perlawanan bola sepak UEFA antara Portugal dan Scotland di stadium Luz di Lisbon pada 8 September. – AFP

    Bagi bos Portugal, Roberto Martinez, kemenangan ke atas Scotland mungkin bermakna perhimpunan keluarga berasa agak janggal.

    Martinez bertemu isterinya Beth ketika beraksi dengan kelab Scotland, Motherwell pada tahun 2001 dan berseloroh sebelum perlawanan mengatakan beliau pasti gembira jika mengecewakan bapa mertuanya dengan mengalahkan Scotland.

    Dia berjaya melakukannya, menyebabkan Scotland masih menanti kemenangan pertama mereka ke atas Portugal.

    Tewas 3-2 di tangan Poland di Hampden Park Khamis lalu, Scotland hanya menang sekali dalam 14 perlawanan, satu catatan mengecewakan termasuk kegagalan untuk melepasi peringkat kumpulan pada Euro 2024.

    Pasukan kendalian Steve Clarke kalah enam daripada sembilan perlawanan mereka tahun ini, dengan satu-satunya kemenangan hadir pada aksi persahabatan menentang Gibraltar pada Jun lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda