Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Graduan kongsi kepentingan ilmu, dakwah

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Di sebalik segala cabaran dan ranjau kehidupan, kita perlu berpandangan jauh ke hadapan dalam setiap usaha dan bidang yang diceburi, sama ada dari segi ilmu pengetahuan mahupun kemahiran.

    Ini bukan sahaja untuk kepentingan peribadi, tetapi juga untuk agama, bangsa, dan negara di mana kita dilahirkan. Pemikiran tersebut jelas tergambar pada Majlis Hafl Al-Takharruj ke-14 UNISSA, yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, baru-baru ini.

    Suasana penuh kesyukuran menyelubungi majlis tersebut apabila para graduan UNISSA diraikan, menggambarkan kejayaan institusi pengajian tinggi di negara ini dalam melahirkan graduan berwibawa dan berdedikasi.

    Kejayaan itu tidak hanya dilihat dari sudut pencapaian akademik, tetapi juga dalam usaha memperkasakan golongan daie demi kesucian agama Islam.

    PERKASA GOLONGAN DAIE DEMI KESUCIAN AGAMA ISLAM

    Segala ilmu dan kemahiran yang diperolehi mampu membuka minda dan membentuk pandangan hidup yang lebih luas lagi terutama sekali dalam mengamalkan ilmu agama yang betul di samping memahami akan ancaman-ancamannya.

    Bagi Awang Abdul Hadi pengajian selama tempoh setahun memberi manfaat dalam meningkatkan kefahaman dan pengetahuannya terutamanya dalam perundangan syariah dan profesi sebagai peguam syarie. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Awang Fariszal selaku salah seorang graduan Diploma Kebangsaan Daie dan Kepimpinan Majlis Hafl Al-Takharruj UNISSA ke-14 yang diraikan, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Afnan turut berkesempatan ditemui Media Permata, baru-baru ini, di Dewan Plenari, ICC, Berakas. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Gambar Oleh Muiz Matdani
    Gambar Oleh Muiz Matdani

    Selain itu, ia juga mampu membentuk keyakinan dalam diri untuk menyampaikan dakwah yang betul kepada masyarakat agar mereka mampu mencapai matlamat dan tujuan hidup sepertimana yang dikehendaki oleh agama Islam kita.

    Demikianlah antara kata-kata yang dikongsikan oleh Awang Fariszal bin Ali kepada Media Permata selaku salah seorang graduan Diploma Kebangsaan Daie dan Kepimpinan, UNISSA pada majlis tersebut, baru-baru ini.

    Menyentuh mengenai kepentingan mengikuti program berkisar daie dan kepimpinan, graduan yang berusia 45 tahun itu turut menekankan bahawa jika kita melihat kepada situasi zaman sekarang di mana kita lebih terdedah kepada pelbagai cabaran dan dugaan lebih-lebih lagi isu-isu negatif yang berkaitan Islam maka, dalam hal ini sudah sewajarnyalah program sedemikian diperkasakan dalam kalangan masyarakat Islam tidak kira sama ada golongan kanak-kanak mahu pun dewasa untuk terus berjuang meningkatkan pengetahuan di samping mendidik jiwa raga sekali gus bersama membantu masyarakat dalam mengatasi isu-isu yang boleh memesongkan pegangan agama suci Islam.

    “Dalam meniti zaman yang semakin mencabar ini, alangkah baiknya golongan belia Islam kita untuk memantapkan diri antaranya melalui mengikuti program sebegini agar dengan adanya kemampuan mereka secara tidak langsung ia juga dapat membantu lingkungan belia yang lain untuk terus berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar dan sentiasa beringat-ingat untuk tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang tidak sihat yang boleh menghancurkan kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara.

    “Namun bukan sahaja golongan belia yang perlu memperkasakan diri mereka dengan apa sahaja program menjurus nilai-nilai murni atau kerohanian ini bahkan hakikatnya dalam kalangan dewasa juga mestilah terus memainkan peranan mereka khususnya dalam menitikberatkan betapa pentingnya memberi kefahaman dan gambaran yang betul lagi tepat mengenai amalan hidup berteraskan Melayu Islam Beraja baik sesama seusia mahu pun anak muda di sekeliling mereka,” ujarnya lagi.

    Dalam pada itu, Awang Fariszal antaranya menambah lagi, Program Membentuk Akhlak Jati Diri Ummah (MAJU) merupakan projek akhir yang dilaksanakan dalam pengajiannya di mana sasaran program itu adalah khusus bagi para belia.

    Jelasnya, program itu dapat dilaksanakan bersama-sama dengan para peserta atau pun belia di Pusat Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Menerusi program berkenaan para peserta diajak untuk memahami dan menghayati dua perkara iaitu ‘siapa mereka menurut pandangan agama?’ dan ‘siapa diri mereka sebagai para belia Brunei?’

    “Kepentingan program ini ialah untuk membantu para belia membentuk pandangan hidup yang tepat sepertimana yang dikehendaki oleh agama Islam dan seterusnya memperjuangkan jati diri mereka sebagai rakyat Brunei.

    Perkara ini sangat penting kerana memandangkan kepada keadaan hidup yang semakin mencabar ketika ini. Jika perkara ini dibiarkan, maka para belia kita akan terpangaruh dengan perkara-perkara yang boleh menjauhkan diri mereka daripada pegangan agama dan seterusnya kehilangkan jati diri sebagai anak Brunei,” tekan beliau.

    MENDALAMI ILMU PERUNDANGAN SYARIAH

    Awang Abdul Hadi @ Mohammad Hamzah bin Haji Yaakub, 37, seorang graduan Diploma Lepasan Ijazah Perundangan Islam dan Guaman Syarie, turut berkongsi manfaat pengajian dalam meningkatkan kefahaman undang-undang syariah dan profesion sebagai peguam syarie.

    “Sebagai tambahan, kursus yang diambil ini juga ada berkaitan dengan bidang tugas saya sebagai Pegawai Perundangan Syariah di Jabatan Perundangan Islam, Kementerian Hal Ehwam Ugama (KHEU).

    Oleh itu, berbekalkan ilmu yang dipelajari sepanjang pengajian, diharap ianya dapat membantu untuk saya menyalurkan pengetahuan bersama kepada rakan-rakan di pejabat sewaktu menjalankan tugas,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Awang Abdul Hadi turut berkongsi, pada semester akhir pengajian, beliau turut didedahkan dengan latihan industri termasuklah membuat kertas laporan kajian kes-kes yang telah dibicarakan di dalam mahkamah khususnya Mahkamah Syariah.

    Kepentingannya kepada mahasiswa dan mahasiswi undang-undang secara khususnya adalah supaya mereka dapat membuat analisis setiap kes yang dibicarakan bagi mengetahui dan meneliti perjalanan setiap kes; dari segi fakta kes, pembuktian, penghakiman dan keputusan hakim terhadap sesuatu kes.

    “Sudah semestinya dalam setiap perkara ada cabaran-cabaran yang menanti, begitu juga sewaktu menjalani pengajian ini. Bagi diri saya, kekuatan menghadapi cabaran ini setentunya datang dari sokongan dan dorongan berterusan yang diberikan oleh isteri, anak-anak dan ibu bapa.

    Ia juga datang hasil nasihat dan tunjuk ajar yang berterusan diberikan oleh pensyarah-pensyarah dan juga melalui persekitaran yang baik yang diberikan oleh rakan-rakan sewaktu dalam kuliah.

    MERANTAU DEMI ILMU

    Demi sebuah pergorbanan menuntut ilmu di perantauan, salah seorang graduan Sarjana Fakulti Usuluddin UNISSA yang berasal dari Thailand, Afnan Sanidoloh meluahkan jiwa kesyukurannya dengan sokongan daripada keluarga khususnya kedua ibu bapa kerana mengizinkannya menuntut di UNISSA dengan kesuungguhan mereka mengikhtiarkan pelbagai cara, walau terpaksa menempuhi halangan dan cabaran untuk memastikan dirinya berjaya.

    “Tak ternilai segala jasa dan pengorbanan serta doa kedua ibu bapa serta rakan-rakan yang sentiasa mengiringi setiap perjalanan hidup ini.

    Pastinya curahan ilmu yang diperoleh selama ini daripada para pensyarah dan juga rakan-rakan seperjuangan yang lain dapat diterapkan untuk mengamalkan nilai-nilai agama dalam kehidupan.

    “Begitu juga, ia mendidik diri kamu sebagai para graduan jurusan ini untuk menjadi generasi daie yang hebat dan kuat serta menjadi inspirasi kepada masyarakat umum, seiring tuntunan dakwah Islamiah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para salafussoleh,” tambahnya.

    Di akhir pertemuan, Afnan turut berkesempatan berkongsi saranan tulus khususnya kepada mahasiswa dan mahasiswi yang masih meniti pengajian di UNISSA untuk sentiasa memperbetulkan niat kerana Allah SWT dalam kehidupan sehari-hari di samping menetapkan matlamat jangka pendek dan panjang dalam meniti pengajian dengannya ia mampu memberi kita kekal fokus dan bersemangat.

    “Begitu penting juga ditekankan, kita seorang hamba dituntut untuk mujahadah, biar Allah SWT sahaja yang menentukan natijah.

    Selain memiliki pengurusan masa yang baik dan teratur dan juga sentiasa berani untuk bertanya kepada pensyarah atau rakan-rakan jika ada perkara yang tidak jelas. Jika kita berpegang kepada semua itu, Insya Allah, kejayaan akan terus mengiringi kehidupan kita,” jelas insan yang berusia 25 tahun itu dengan penuh kesyukuran.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda