Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guardiola gembira berpeluang pertahan treble

    MANCHESTER, 14 APRIL – Pep Guardiola berkata Manchester City bertuah dapat berada di posisi untuk mempertahankan kejuaraan treble selepas menewaskan Luton 5-1 dan menerajui Liga Perdana Inggeris, kelmarin.

    Kemenangan itu meletakkan anak buah Guardiola dua mata di depan Arsenal dan Liverpool, yang akan melengkapkan aksi malam ini dan berpeluang memintas semula City.

    City turut berdepan Chelsea di separuh akhir Piala FA hujung minggu depan dan bertemu Real Madrid dalam aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara Eropah pada Rabu (awal pagi Khamis).

    Musim lalu, City hanya menjadi pasukan Inggeris kedua yang memenangi treble Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan Piala FA.

    “Kami bercakap dengan pemain-pemain tentang betapa menakjubkan untuk berada di posisi ini sekali lagi.

    Gambar AFP

    “Sebelum perlawanan kami bercakap dan berkata, ‘kita perlu mengakuinya, ia satu keistimewaan’.

    “Bayangkan jika berada di posisi yang tiada peluang memenangi Liga Perdana Inggeris atau kejohanan lain,” kata Guardiola.

    Guardiola menimbulkan kebimbangan minggu ini bahawa keletihan boleh menggagalkan usaha City untuk meraih kejayaan dalam tiga bahagian dengan isu kecederaan menambah jadual yang padat.

    Tetapi dia hampir tidak berharap untuk perlawanan yang lebih baik menentang Madrid.

    Pengendali City itu melakukan enam pertukaran ke atas skuad yang seri 3-3 menentang Madrid di Santiago Bernabeu, dengan Rodri antara pemain direhatkan bagi menghadapi minggu yang padat.

    Kyle Walker dan Nathan Ake juga kembali berada di bangku simpanan selepas pulih daripada kecederaan dan bersedia menghadapi Madrid di Etihad.

    City masih mengharapkan Arsenal dan Liverpool tercicir mata untuk berpeluang menjadi pasukan pertama memenangi Liga Perdana Inggeris empat kali berturut-turut, dengan baki perlawanan juara bertahan itu kelihatan lebih mudah berbanding dua pesaingnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda