Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hasrat M’sia sertai BRICS bukan campuri urusan domestik, politik

    KUALA LUMPUR, 9 JULAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) bukan untuk mencampuri urusan domestik atau politik negara terlibat.

    Sebaliknya, beliau berkata Malaysia lebih menekankan keutamaan kepada aspek perdagangan, ekonomi serta perluasan jaringan yang dapat memberikan manfaat kepada negara dan rakyat terutamanya pedagang, peniaga dan pelabur.

    Anwar berkata dalam hubungan Malaysia dengan negara luar termasuk negara barat serta yang terlibat dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Malaysia tidak sepenuhnya bersetuju dalam semua hal.

    “Malah, ada pertentangan dan perbezaan besar kita dalam isu Gaza umpamanya, isu negara berkembang, isu persaingan perdagangan dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), tapi itu tak menyebabkan kita harus memutuskan perhubungan terutama bila keutamaan itu adalah perdagangan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) yang ingin tahu sama ada kerajaan telah meneliti implikasi Malaysia apabila menyertai BRICS memandangkan negara anggotanya mempunyai latar belakang ekonomi, politik dan sosial yang agak berbeza dengan Malaysia.

    Perdana Menteri berkata dalam soal BRICS, negara seperti China dan Rusia menjalin hubungan dan kerjasama yang rapat dengan Malaysia walaupun kedua-duanya mempunyai sistem negara yang berbeza dengan negara ini. – Bernama

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Ahli Parlimen Tambun semasa sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda