Tuesday, September 17, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Helang serang kanak-kanak, dibunuh penjaga hutan

    OSLO, 9 SEPT – Seekor burung helang emas telah menyerang seorang kanak-kanak di Norway, kelmarin, dan ibunya bersama seorang jiran terpaksa berulang kali menghalau burung tersebut sebelum seorang penjaga hutan menembak mati burung itu, lapor media Norway.

    Kanak-kanak perempuan berusia 20 bulan itu sedang bermain di ladang keluarganya di Trondelag, Norway tengah, ketika burung helang tersebut tiba-tiba menyerangnya.

    Dia mengalami luka di belakang kepala yang memerlukan jahitan, serta calar pada wajah akibat cengkaman kuku helang, kata bapanya kepada penyiar awam NRK.

    “Burung helang itu datang entah dari mana dan menerkam anak perempuan bongsu kami,” kata bapa kanak-kanak tersebut, yang namanya tidak didedahkan.

    “Ibunya segera melompat dan memegang burung helang itu, tetapi terpaksa bergelut untuk (helang tersebut) melepaskannya.”

    “Seorang jiran juga terpaksa membantu ibu dan anak kami,” tambahnya.

    Burung helang emas yang menyerang anak kecil di Norway. – AP

    Penjaga hutan, Per Kare Vinterdal, yang menembak mati burung tersebut, memberitahu NRK bahawa helang itu melihat kanak-kanak tersebut sebagai ‘mangsa’.

    Beliau turut berkata bahawa ibu dan jiran berjaya menyingkirkan burung tersebut daripada kanak-kanak itu, tetapi helang itu terus datang kembali walaupun jiran telah menghalaunya dengan kayu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda