Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Bagi menghidupkan suasana Bandar Seri Begawan, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dengan kerjasama Fete Event Management akan mengadakan ‘The Street Market’ pada setiap malam hujung minggu bermula 10 Februari ini.
Tujuan lain ‘The Street Market’ ini diadakan adalah untuk menyokong perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam mempromosikan serta memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung-pengunjung di samping dapat menjadikan Kompleks Yayasan sebagai salah satu lokasi santai untuk orang ramai termasuklah para pelancong di negara ini.
‘The Street Market’ ini akan diadakan di kawasan Jalan Pretty iaitu berdekatan Kompleks Yayasan dan beroperasi pada setiap malam Jumaat, Sabtu dan Ahad dari pukul 7 malam hingga 12 tengah malam.
Selain jualan, beberapa aktiviti menarik khusus untuk kanak-kanak juga akan diadakan antaranya Kiddy Car, Go Kart, permainan Nerf, permainan bubbles, bouncer, lukisan muka dan banyak lagi.
Menurut kenyataan Fete Event Management, ‘The Street Market’ ini akan mula dijalankan pada minggu kedua Februari ini iaitu 10 sehingga 12 Februari ini dan seterusnya pada 17 hingga 19 Februari dan 24 hingga 26 Februari.
Fete Event Management menyatakan harapan agar ‘The Street Market’ ini akan dapat membuka kepada PKS tempatan dan seterusnya berharap akan lebih banyak pengusaha-pengusaha tempatan akan ikut serta dan terus mengikuti jualan dan aktiviti yang dianjurkan oleh Kompleks Yayasan dan Fete Event Management ini.
Selain itu, ‘The Street Market’ diharap akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dan akan dapat menceriakan lagi Bandar Seri Begawan pada setiap malam hujung minggu.
Sebelum ini, Kompleks Yayasan dan Fete Event Management pernah mengadakan acara besar-besaran buat kali pertamanya iaitu ‘Kiddy Happy Hour’ yang dijalankan di kawasan lapang kompleks berkenaan pada Disember tahun lalu dan pada tahun ini, ‘The Street Market’ merupakan acara besar-besaran kedua bagi kedua-dua penganjur berkenaan.