Sunday, May 5, 2024
23.4 C
Brunei

    -

    Honda, LG labur AS$4.4 bilion dalam kilang bateri AS

    TOKYO, 29 OGOS – Syarikat kereta gergasi Jepun, Honda dan pembuat bateri Korea Selatan LG Energy Solution mengumumkan usaha sama hari ini untuk melabur AS$4.4 bilion dalam kilang bateri kereta elektrik baharu Amerika Syarikat (AS).

    Langkah itu muncul selepas California minggu lalu memutuskan semua kereta baharu yang dijual di negeri paling ramai penduduk di Amerika itu dimestikan sifar pelepasan mulai 2035, dengan negeri AS lain dijangka mengikutinya.

    Dalam satu kenyataan bersama, firma itu berkata mereka menjangkakan pembinaan kilang itu akan bermula tahun depan, menyasarkan ‘pengeluaran besar-besaran sel bateri litiumion termaju menjelang akhir 2025’.

    Usaha sama itu ditentukan ‘berdasarkan kepercayaan bersama bahawa mengembangkan pengeluaran kenderaan elektrik tempatan dan memastikan bekalan bateri yang tepat pada masanya akan meletakkan mereka dalam kedudukan terbaik dalam menyasarkan pasaran EV Amerika Utara yang berkembang pesat’, tambah syarikat itu.

    Bulan lalu, syarikat gergasi elektronik Jepun dan pembekal Tesla, Panasonic mengumumkan pelaburan AS$4 bilion untuk membina kilang bateri baharu di AS untuk kenderaan elektrik.

    Ketua Pegawai Eksekutif Panasonic, Kazuo Tadanobu berkata kilang baharu itu, operasi bateri elektrik kedua syarikat itu di AS, adalah ‘sangat penting untuk membantu memenuhi permintaan’.

    Awal tahun ini, Honda berkata ia merancang untuk melabur hampir AS$40 bilion dalam teknologi kenderaan elektrik beberapa dekad akan datang ketika ia berusaha untuk mengalihkan semua pasarannya daripada kereta bahan api tradisional.

    Ia mahu melancarkan 30 model EV menjelang 2030, dengan jumlah pengeluaran tahunan lebih dua juta unit dan menyasarkan kenderaan elektrik dan sel bahan api menyumbang 100 peratus daripada semua jualan menjelang 2040. – AFP

    Pengunjung semasa melawat reruai LG Energy Solution Ltd semasa pameran bateri, di COEX di Seoul, Korea Selatan pada 9 Jun 2021. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...