Wednesday, May 8, 2024
25.4 C
Brunei

    -

    Pakar kongsi ilmu sains halal

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT) telah mengadakan forum bersama para ilmuwan dan sarjana dalam bidang pengkhususan sains halal secara maya baru-baru ini.

    Forum Bersama Ilmuwan mengangkat tema ‘Isu Kontemporari Halal dan Jalan Penyelesaiannya’ disertai hampir 70 peserta dari dalam dan luar negara.

    Ia menampilkan para pakar dari dalam dan luar negara mengongsikan kepakaran dan pengalaman ilmiah masing-masing dan sebagai platform mewujudkan suasana ilmiah yang kondusif dengan membudayakan iklim ilmu dalam kalangan para akademik dan mahasiswa.

    Perkongsian tersebut sangat bermakna bagi para mahasiswa khususnya isu kontemporari halal seperti istihalah dan halalan thayyiban di era COVID serta jalan penyelesaiannya.

    Siri Forum Bersama Ilmuwan yang dianjurkan oleh PPHT itu telah menjemput dua orang ilmuwan iaitu Pensyarah dan Ketua Program Siswazah, PPHT, UNISSA, Profesor Madya Dr Nurdeng Deuraseh dan juga Pensyarah Kanan dan Ketua Pusat di Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Malaysia, Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin.

    Manakala moderatornya pula ialah seorang pelajar Sarjana Siswazah Sains Halal (Pengurusan Halal), PPHT, UNISSA iaitu Awang Luqmanul Hakeem bin Haji Rozaini.

    Profesor Madya Dr Nurdeng Deuraseh membentangkan ‘Isu-Isu Halalan Thayyiban Era COVID-19: Cabaran dan Resolusi’ dengan mengupas isu-isu halalan thayyiban berlaku semasa era COVID seperti elak memakan daging yang mentah dan dilarang, kenapa isu itu perlu diberi perhatian dan apakah solusinya terbaiknya.

    Sementara panel kedua, Dr Mohd Hapiz pula telah menyentuh mengenai aplikasi istihalah dengan pembentangannya bertajuk ‘Aplikasi Istihalah terhadap produk yang Mengandungi Derivatif Muharramat’.

    Beliau menelusuri hukum dan fatwa aplikasi istihalah dari segi wacana ulama silam dan kontemporari.

    Beliau juga menyentuh sejauh manakah praktis amali istihalah itu boleh diguna pakai dalam konteks masa sekarang.

    Forum mengupas isu kontemporari halal yang dianjurkan oleh UNISSA. – Gambar serahan UNISSA
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...