Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hubungan kerjasama Brunei-Vietnam semakin berkembang

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Hubungan kerjasama dua hala Vietnam dan Negara Brunei Darussalam terus berkembang terutamanya dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, urusan asing, keselamatan, pertahanan, tenaga, budaya, pendidikan, pertanian dan pertukaran pegawai.

    “Pada tahun 2019, kedua-dua negara telah menjadi rakan kongsi yang komprehensif bersempena lawatan negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Vietnam.

    Manakala pada tahun 2023, semasa lawatan rasmi Perdana Menteri, Tuan Yang Terutama Pham Minh Chinh ke Brunei Darussalam, kedua-dua pihak telah menerima Pelan Tindakan untuk Pelaksanaan Rakan Kongsi Komprehensif Vietnam-Brunei bagi tempoh 2023-2027, yang menentukan kerjasama dalam bidang-bidang keutamaan termasuk tenaga, halal, pelancongan dan banyak lagi.

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Duta Besar Vietnam ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Tran Anh Vu pada Majlis Ulang Tahun Hari Kebangsaan Vietnam ke-79 yang berlangsung di Kedutaan Besar Vietnam kelmarin.

    Hadir mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Dalam ucapan alu-aluan, TYT Tran Anh Vu berkata kerjasama dua hala Vietnam-Brunei pada 2024 telah mencatat momentum persefahaman. Lawatan Tuan Yang Terutama Nguyen Khac Dinh dan delegasi Dewan Rakyat Vietnam ke Brunei merupakan bukti kukuh peningkatan pertukaran dan kerjasama antara badan perundangan kedua-dua negara.

    Perdagangan dua hala pada separuh pertama 2024 juga telah meningkat hampir tiga kali ganda berbanding tempoh yang sama pada 2023. Brunei Darussalam kini merupakan pelabur ke-20 terbesar di Vietnam dan lebih banyak syarikat Vietnam telah memasuki pasaran Brunei dan menjalin kerjasama dengan syarikat Brunei dalam bidang tenaga, logistik, industri makanan halal dan perikanan.

    “Kami juga amat menghargai kerjasama budaya dan pendidikan antara kedua-dua negara, khususnya melalui kerjasama antara Universiti Brunei Darussalam dan universiti-universiti Vietnam dalam pertukaran pensyarah, pelajar dan program bahasa Vietnam yang berjaya di UBD,” tambah TYT Tran Anh Vu.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua buah negara dan diselajurkan dengan sesi memotong kek oleh tetamu kehormat dan Duta Besar Vietnam.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf semasa menghadiri majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf, TYT Tran Anh Vu dan jemputan-jemputan yang lain bergambar ramai semasa Majlis Ulang Tahun Hari Kebangsaan Vietnam ke-79, di Kedutaan Besar Vietnam, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda