Saturday, May 4, 2024
27.4 C
Brunei

    -

    Indonesia usaha selamatkan 20 mangsa

    JAKARTA, INDONESIA, 5 MEI – Pegawai Indonesia hari ini berkata mereka sedang berusaha untuk menyelamatkan berpuluh-puluh warganegara mereka yang diseludup masuk ke Myanmar untuk bekerja sebagai penipu siber, di tengah-tengah peningkatan kes perdagangan manusia di Asia Tenggara.

    Sekurang-kurangnya 20 pencari kerja Indonesia terperangkap di perbandaran Myawaddy, lokasi konflik bersenjata antara tentera Myanmar dan pemberontak etnik Karen, kata Judha Nugraha, seorang pegawai di Kementerian Luar Indonesia.

    Myawaddy terletak di timur negeri Kayin di sepanjang sempadan Thailand.

    Menurut Nugraha, perekrut palsu menawarkan mangsa pekerjaan bergaji tinggi di Thailand tetapi sebaliknya menyeludup mereka ke Myawaddy, kira-kira 567 kilometer di selatan Naypyidaw, ibu negara, untuk melakukan penipuan siber untuk laman web atau aplikasi crypto.

    Kesatuan Pekerja Migran Indonesia, sebuah kumpulan bukan untung, berkata beberapa mangsa diseksa apabila mereka gagal mencapai sasaran tertentu dan terpaksa membayar lebih $10,000 dalam kos perjalanan.

    Pihak berkuasa berkata, mangsa berkemungkinan diseludup ke Myanmar dengan cara yang menyalahi undang-undang kerana tiada rekod boleh ditemui mengenai ketibaan mereka di sistem imigresen Myanmar.

    Pegawai Indonesia bekerjasama dengan pihak berkuasa di Naypyidaw, Myawaddy dan Thailand, dan telah meminta bantuan daripada organisasi lain untuk membantu membawa mangsa keluar dari kawasan itu dengan selamat, katanya.

    Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi memberitahu sidang akhbar hari ini bahawa kerajaan telah menangani 1,841 kes perdagangan manusia dalam tempoh tiga tahun lalu di mana mangsa merupakan warga Indonesia yang ditipu dalam penipuan dalam talian. – AP

    Retno Marsudi menjelaskan isu tersebut semasa sidang media di Jakarta, Indonesia, pada 5 Mei. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...