BAITULMAQDIS, 30 JULAI – Israel muncul antara yang pertama memberi suntikan ‘booster’ di dunia, apabila bakal menawarkan dos ketiga vaksin COVID-19 kepada individu berusia 60 tahun ke atas, kata Perdana Menteri, Naftali Bennett, semalam.
“Suntikan itu akan mula diberikan pada Ahad ini sebagai sebahagian daripada ‘kempen vaksinasi pelengkap’ bagi individu berumur 60 tahun ke atas yang sudah menerima imunisasi lengkap lebih lima bulan lalu.
“Saya meminta semua warga emas yang sudah divaksinasi supaya mendapatkan dos tambahan ini. Lindungi diri anda,” katanya ketika kebimbangan semakin memuncak terhadap ancaman penularan varian Delta.
Kira-kira 55 peratus daripada sembilan juta penduduk Israel telah menerima dua dos vaksin, kebanyakannya Pfizer-BioNTech, selepas melancarkan kempen imunisasi besar-besaran pada Disember lalu.
Bennett berkata Israel sudah memberi dos ketiga kepada 2,000 individu, tanpa kesan sampingan yang teruk.
“Sekarang, kita melancarkan kempen dos ketiga pada peringkat kebangsaan,” katanya.
Presiden Israel, Isaac Herzog, dijadualkan menerima suntikan dos ‘booster’ pada pagi tadi. – AFP