BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Pelbagai aspek teknikal berkaitan isu-isu imigresen antara Brunei dan Malaysia dijangka dapat diperhalusi dan dimuktamadkan dalam perbincangan peringkat pegawai antara kedua-dua negara pada Mac nanti.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan diharap dapat mempermudahkan urusan melintasi sempadan antara Brunei dengan Sabah dan Sarawak, lebih-lebih lagi apabila siapnya projek Lebuhraya Pan Borneo nanti.
Beliau memberi contoh ketika ini kira-kira 16 pusat pemeriksaan yang perlu dilalui oleh penduduk antara Brunei dengan Sabah dan Sarawak untuk melintasi sempadan, pergi dan balik, yang memerlukan satu kaedah baru dipersetujui antara kedua-dua negara bagi memudahkan urusan perjalanan.
“Ia adalah kesinambungan perjanjian dan persefahaman antara Malaysia dengan Brunei. Perbincangan itu akan mempermudahkan prosedur operasi standard (SOP) dalam aspek kaedah dan soal teknikal serta perundangan apabila Pan Borneo siap sepenuhnya nanti,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong di bilik persidangan Empire Hotel & Country Club di sini.
Timbalan Perdana Menteri berkata perbincangan juga nanti akan berkisar kepada soal perpindahan banduan antara Sabah dan Sarawak yang perlu melintasi sempadan Brunei, di mana Brunei memerlukan satu prosedur standard operasi yang jelas dimuktamadkan bagi menentukan aspek perundangan dan keselamatan dapat diperincikan.
“Perbincangan juga nanti akan merujuk soal perkongsian maklumat risikan dan kaedah atasi jenayah rentas sempadan dan juga jika berlaku kebolosan pengganas yang terbabit dalam Katibah Nusantara yang melibatkan negara Malaysia, Brunei, Filipina dan Indonesia,” katanya.
“Kita akan lakukan sebaiknya tanpa mengganggu sistem perundangan yang sedia ada, tapi ada kesefahaman khususnya dalam peringkat operasional yang akan dilaksanakan antara dua negara,” tambahnya.
Katanya Rundingan Tahunan kedua-dua negara yang dirancang sekitar September atau November nanti juga dijangka akan dapat menghuraikan dan menyelesaikan pelbagai isu ekoran keakraban kepimpinan antara kedua-dua negara.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri turut merakam ucapan menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas langkah Brunei menggunakan asetnya, helikopter S92 dan kapal Tentera Laut Diraja Brunei, membantu mencari mangsa kejadian bot karam di sekitar perairan negara itu. – Bernama