Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Izquierdo meninggal dunia akibat serangan jantung

    MONTEVIDEO, 29 OGOS – Pemain bola sepak Uruguay, Juan Izquierdo dari kelab Nacional meninggal dunia di Brazil pada Selasa, lima hari selepas rebah akibat serangan jantung semasa perlawanan menentang Sao Paolo, umum pasukannya lewat Selasa.

    Pemain berusia 27 tahun itu rebah pada minit ke-84 dalam perlawanan merebut tempat ke suku akhir Copa Libertadores, kejohanan kelab yang paling berprestij di Amerika Latin.

    Dia dibawa oleh ambulans ke Hospital Albert Einstein, di mana pakar perubatan berkata dia mengalami ‘serangan jantung yang tidak dapat ditentukan puncanya, disebabkan aritmia.’

    Izquierdo, yang dirawat dengan ubat penenang dan alat pernafasan, kemudiannya mengalami ‘perkembangan masalah otak dan peningkatan tekanan intrakranium,’ menurut pihak hospital.

    “Dengan rasa amat sedih di hati kami, Club Nacional de Football mengumumkan pemergian pemain kesayangan kami, Juan Izquierdo,” tulis Nacional di rangkaian sosial X, dalam mesej yang disertakan dengan gambar hitam putih pemain itu.

    Isteri Izquierdo, Selena baharu saja melahirkan anak keduanya seminggu lalu.

    Pada Isnin, pihak berkuasa mendedahkan bahawa pemain itu telah didiagnosis dengan ‘aritmia kecil’ sedekad yang lalu semasa pemeriksaan rutin pasukan remaja, menurut Pengarah Sekretariat Sukan Negara, Sebastian Bauza.

    Presiden kelab, Alejandro Balbi berkata Izquierdo ‘tidak pernah menunjukkan sebarang masalah jantung’ semasa peperiksaan di kelab itu, yang disertainya pada Januari tahun ini.

    Izquierdo lahir di Montevideo pada 1991 dan memulakan kerjayanya pada 2017, bermain di beberapa kelab Uruguay divisyen pertama.

    Dia juga bermain untuk Atletico San Luis di Mexico. – AFP

    Gambar mendiang Izquierdo dipaparkan di skrin stadium sebelum perlawanan bola sepak Copa do Brasil antara Sao Paulo dan Atletico Mineiro di Sao Paulo, Brazil pada 28 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda