Saturday, May 4, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Jaga batas komunikasi semasa berhari raya

    Teringat kembali peristiwa yang berlaku semasa saya sedang beraya. Saya hanya ingin berkongsi sedikit pengalaman tentang tabiat masyarakat yang suka mengambil kesempatan untuk menyindir atau memperli antara satu dengan lainnya semasa kita sedang kunjung-mengunjung.

    Inilah yang berlaku setiap tahun apabila suasana kunjung-mengunjung ke rumah keluarga dan handai taulan pada hari raya. Berjumpa pun jarang-jarang tetapi mengapa mulut kita tidak betapis, sengaja untuk menyindir dan mengguris hati orang lain? Sebagai contoh, “Kau ini sudah berusia kenapa tidak kahwin lagi?” atau “Kau ini sudah lama kahwin tetapi bila pula hendak menimang cahaya mata?”Apa faedah yang kita dapat dengan bertanya soalan sedemikian? Ingin tambah pengetahuan am? Atau ingin menunjukkan kita yang paling prihatin? Tidak bolehkah waktu sesingkat itu kita bercakap tentang perkara baik yang boleh membuat orang lain berasa senang?

    Sebagai tuan rumah dan juga sebagai tetamu elok kita tahu batas perbualan agar tidak menyentuh hal-hal yang boleh menyinggung antara satu sama lain. Walaupun kita lihat adanya perbezaan, kita terima sahaja perbezaan itu. Cari perkara yang boleh membuat kita untuk bersembang dan berkongsi pengalaman bersama. Berlapang dada adalah cara terbaik. Pesan anak-anak remaja kita kalau masuk beraya ke rumah keluarga terdekat supaya bersalam dan bertanya khabar, satu dua soalan dengan tuan rumah dengan muka mesra, bukan bermasam muka.

    Tinggalkan sekejap gajet yang membuatkan kita jadi leka dengan suasana sekeliling.

    Renungkan kembali niat dan tujuan kita masuk ke rumah orang, adakah hanya sekadar untuk makan, mengintai isi rumah dan melaporkan kepada kenalan-kenalan lain sebagai bahan umpatan? Atau untuk mengeratkan persaudaraan?

    Hari raya seharusnya kita ambil kesempatan untuk meneguhkan lagi jambatan perhubungan. Sekiranya perhubungan renggang, ini merupakan masa untuk sama-sama memperbaikinya, bukan mengeruhkan lagi dengan perangai buruk kita yang hanya mengikut nafsu, dengki dan mementingkan diri sendiri.

    Ka Jah

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...