Saturday, May 4, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Perkasa budaya membaca

    Oleh Nurdiyanah R. & Daniel Lim –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengisytiharkan 23 April sebagai Hari Buku Sedunia yang turut diraikan di negara ini.

    Sehubungan itu, sebagai salah satu usaha dan strategik untuk memberikan inspirasi kepada masyarakat dalam mencintai buku dan gemar membaca khususnya dalam kalangan kanak-kanak, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengungkayahkan Majlis Sambutan Hari Buku Sedunia 2024 di Balai Sarmayuda, DBP, pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.

    Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Pengiran Hajah Rosenani binti Pengiran Haji Halus dalam ucapannya berkata, Hari Buku Sedunia bermatlamat bagi menggalakkan budaya membaca, penerbitan dan pemeliharaan hak cipta buku.

    Menurut beliau, objektif sambutan berkenaan adalah untuk menggalakkan berkarya melalui amalan membaca kerana melalui pembacaan, keyakinan diri apabila berhadapan dengan khalayak dapat dibina dan mampu meningkatkan kemahiran berkomunikasi.

    Pengiran Haji Mohd Hasnan menyampaikan sijil kepada ahli panel ceramah motivasi pada Majlis Sambutan Hari Buku Sedunia 2024, kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Antara yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Buku Sedunia 2024 di Balai Sarmayuda, DBP. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Aktiviti bercerita turut diadakan di Perpustakaan DBP Kampung Pandan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Pelajar membaca buku sebagai sebahagian daripada aktiviti acara di Perpustakaan DBP Kampung Pandan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Antara pelajar yang menyertai aktiviti di Perpustakaan DBP Kampung Pandan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    “Sambutan juga bertujuan untuk memperkasa budaya membaca yang berterusan dalam kalangan masyarakat terutama golongan kanak-kanak bagi meneroka dan menikmati keseronokan membaca buku, dan seterusnya menggalakkan setiap organisasi untuk terlibat sama menyediakan sudut bacaan sebagai usaha menggalakkan budaya membaca dan menanamkan sikap cintakan ilmu melalui aktiviti yang berkaitan dengan pembacaan,” jelasnya.

    Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; Pemangku Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, pengarah-pengarah di bawah KKBS, pengetua dan guru besar, para penuntut, penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara, penulis dan penggiat sastera tanah air.

    Majlis diserikan dengan program ceramah motivasi berjudul Seindah Bicara yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.

    Manakala itu, di Daerah Belait, lebih 161 orang pelajar dari lima buah sekolah menyertai aktiviti membaca sebagai sebahagian daripada Hari Buku Sedunia yang diadakan di Perpustakaan DBP Kampung Pandan.

    Acara diadakan sebagai sebahagian daripada program seluruh negara untuk menanam budaya membaca dalam kalangan pelajar.

    Aktiviti yang diadakan bukan sahaja merangkumi sesi membaca senyap selama 10 minit malah bercerita yang diketuai oleh salah seorang kakitangan perpustakaan yang menceritakan semula cerita rakyat klasik Jack and the Beanstalk yang digemari pelajar muda, kerana mereka menggunakan imaginasi untuk memasukkan diri mereka ke dalam cerita.

    Aktiviti-aktiviti lain yang diadakan termasuk Finger Gym dan kuiz-kuiz yang menawarkan hadiah daripada pihak perpustakaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...