Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jaga integriti, mudahkan urusan rakyat

    TUARAN, 15 OGOS – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengingatkan semua Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah di negeri itu supaya menjaga integriti dan ketelusan serta memudahkan urusan rakyat di kawasan mereka.

    Hajiji berkata beliau telah menerima banyak aduan daripada rakyat dan laporan tentang isu integriti serta ketelusan melibatkan Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah, termasuk ada antara mereka melengah-lengahkan urusan yang mempunyai kepentingan untuk rakyat.

    Bukan memberikan amaran, sebaliknya beliau mahu setiap Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah memahami serta memberi perhatian serius tentang apa yang sepatutnya mereka lakukan dalam menjalankan amanah serta harapan rakyat.

    “Saya mempunyai maklumat terperinci dan khusus mengenai perkara ini kerana itu saya minta aspek ketelusan dan integriti ditingkatkan.

    “Permudahkan urusan rakyat kalau boleh selesai satu, dua hari jangan ambil masa satu, dua bulan selesaikan hingga beri impak kepada usaha kita bantu rakyat.

    “Saya tidak berkompromi jika benar terbukti ada unsur sengaja mahu lengah-lengahkan projek untuk rakyat, atau cari kesempatan ambil keuntungan daripada projek.

    “Saya akan ambil tindakan kepada Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah tidak laksana tugas diamanahkan,” katanya hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah ke-27 2024, yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim. – Bernama

    Hajiji ketika menghadiri Persidangan DUN Sabah, pada 9 Julai. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda