Wednesday, September 18, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerman, Kanada menang pembukaan Piala Davis

    PARIS, 11 SEPT – Jerman berjaya mengatasi ketiadaan pemain nombor dua dunia, Alexander Zverev, untuk meraih kemenangan 3-0 ke atas Slovakia dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan Piala Davis di Zhuhai, China, kelmarin. Sementara itu, Kanada menewaskan Argentina 2-1 dalam aksi Kumpulan D di Manchester, England.

    Walaupun tanpa empat pemain teratas termasuk Zverev, Jerman tetap mendominasi perlawanan Kumpulan C yang turut merangkumi Amerika Syarikat (AS) dan Chile.

    Maximilian Marterer memberikan mata pertama kepada Jerman selepas menewaskan Lukas Klein 6-4, 7-5, diikuti kemenangan Yannick Hanfmann yang menewaskan Jozef Kovalik 3-6, 6-3, 7-6 (7/3). Gandingan Kevin Krawietz dan Tim Puetz memastikan kemaraan penuh Jerman dengan kemenangan 7-5, 6-3 dalam acara beregu menentang Klein dan Igor Zelenay.

    AS, juara 32 kali, akan memulakan kempen mereka menentang Chile hari ini, diikuti perlawanan menentang Slovakia pada Jumaat dan Jerman pada Sabtu.

    “Kami mempunyai beberapa hari rehat, jadi kami boleh pulih dan memberikan yang terbaik untuk memenangi perlawanan seterusnya serta masih berpeluang ke final,” kata Kovalik dari Slovakia.

    Di Manchester, Denis Shapovalov dari Kanada berjaya menundukkan Francisco Cerundolo 7-5, 6-3 dalam perlawanan Kumpulan D, manakala Felix Auger-Aliassime mengatasi Sebastian Baez 6-3, 6-3.

    Dalam acara beregu, Maximo Gonzalez dan Andres Molteni dari Argentina menewaskan gandingan Shapovalov dan Vasek Pospisil 2-6, 6-3, 6-2.Kanada akan bertemu Finland esok sebelum menentang tuan rumah, Britain, pada Ahad.

    “Saya rasa hebat,” kata Shapovalov. “Kali terakhir saya bermain dalam Piala Davis, kami memenangi kejohanan, jadi sangat seronok untuk kembali dan bermain pada tahap tinggi.

    Saya mahu teruskan momentum ini.” – AFP

    Reaksi Maximilian Marterer semasa perlawanan separuh akhir perseorangan pada kejohanan ATP Tenis Terbuka Eropah, di Antwerp pada Sabtu 21 Oktober 2023. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda