Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jokowi ganti ketua ibu kota baharu

    JAKARTA, 5 JUN – Presiden Indonesia, Joko Widodo telah menggantikan ketua ibu kota baharu negara itu, dalam satu rombakan mengejut hanya beberapa minggu sebelum projek kontroversi bernilai AS$32 bilion dibuka secara rasmi di pulau Borneo.

    Ibu kota ekonomi terbesar Asia Tenggara itu akan secara rasmi berpindah dari Jakarta yang sesak dengan lalu lintas ke Nusantara pada Ogos depan.

    Projek legasi Joko Widodo yang bakal menamatkan penggalnya telah terhalang oleh kekurangan pelaburan asing, isu pemilikan tanah dan kelewatan.

    “Presiden Jokowi telah melakukan perubahan kepimpinan,” tulis Bambang Susantono, pegawai yang digantikan, di Instagram lewat kelmarin.

    “Izinkan saya memohon maaf atas sebarang kesilapan dan kekurangan dalam tugas saya,” tambah Bambang, bekas pegawai Bank Pembangunan Asia.

    Jokowi (tengah) bercakap dengan wartawan selepas beliau meninjau tapak pembinaan istana presiden di ibu kota baharu Nusantara di Penajam Paser Utara, Kalimantan Timur, Indonesia pada 5 Jun. – AP

    Kerajaan Indonesia berkata beliau meletak jawatan tanpa penjelasan dan akan digantikan oleh Basuki Hadimuljono, menteri kerja raya dan perumahan negara itu.

    Timbalan Bambang, Dhony Rahajoe, digantikan oleh timbalan menteri pertanian.

    Perubahan mendadak itu digambarkan sebagai ‘mengejutkan dan aneh’ oleh ahli parlimen pembangkang, Mardani Ali Sera.

    Kedua-dua pegawai itu terkenal dengan profesionalisme mereka dan pendekatan yang berhati-hati terhadap projek mega itu, katanya kepada AFP.

    Bandar baharu itu dijadualkan akan mula beroperasi sebagai pusat politik baharu negara pada 17 Ogos, hari kemerdekaan Indonesia.

    Pencinta alam sekitar telah memberikan amaran bahawa bandar yang dirancang itu akan mempercepatkan pembasmian hutan di salah satu kawasan hutan hujan tropika terbesar di dunia.

    Kerajaan Indonesia menyasarkan untuk mempunyai 1.9 juta penduduk yang tinggal di Nusantara menjelang 2045, yang akan membawa gelombang aktiviti manusia dan perindustrian ke tengah-tengah Borneo. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda