Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jokowi kenang jawatan presiden dalam ucapan terakhir

    JAKARTA, 16 OGOS – Dalam ucapan terakhir Presiden Joko Widodo hari ini, menandakan ulang tahun ke-79 kemerdekaan Indonesia, beliau mengenang kembali tempoh kepimpinannya selama sedekad serta tempoh lima tahun Naib Presiden, Prof KH Ma’ruf Amin.

    Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi mengulas pencapaian sepanjang tempoh perkhidmatannya, termasuk pembinaan 366,000 kilometer jalan kampung, 1.9 juta meter jambatan kampung, 2,700 kilometer jalan tol baharu, 50 pelabuhan dan lapangan terbang baharu, 43 empangan dan 1.1 juta hektar terusan pengairan baharu.

    “Dengan perkembangan ini, kami berjaya menurunkan kos logistik daripada 24 peratus kepada 14 peratus pada 2023. Kami berjaya meningkatkan daya saing negara kami daripada kedudukan 44 kepada kedudukan ke-27 pada 2024,” katanya pada sesi tahunan Dewan Perundingan Rakyat dan sesi bersama Dewan Rakyat di parlimen.

    Jokowi melaporkan kemajuan ekonomi, dengan inflasi dikekalkan antara dua hingga tiga peratus, kemiskinan tegar berkurangan daripada 6.1 peratus kepada 0.8 peratus dan kadar bantut menurun daripada 37.2 peratus kepada 21.5 peratus.

    Beliau memuji program kebajikan sosial kerana membantu berjuta-juta rakyat dengan insurans kesihatan dan pendidikan dan menekankan kemajuan dalam pemprosesan bahan mentah domestik, pengurusan sumber dan tenaga hijau.

    Joko Widodo (tengah) yang memakai pakaian tradisional Betawi, berjalan bersama Menteri Pertahanan dan bakal Presiden Indonesia, Prabowo Subianto selepas menyampaikan ucapan negara tahunannya di bangunan parlimen di Jakarta, kelmarin. – AFP

    Beliau juga menyatakan pembaharuan perundangan, termasuk Kanun Jenayah baharu dan undang-undang yang menangani keganasan seksual.

    “Kita harus bersyukur kerana selepas 79 tahun merdeka, kita akhirnya mempunyai Kanun Jenayah baharu sebagai usaha memodenkan sistem perundangan Indonesia serta Undang-undang Penciptaan Pekerjaan yang menyemak semula 80 undang-undang dan 1,200 artikel sebagai usaha untuk menyahkawal selia peraturan yang bertindih,” katanya.

    Jokowi juga mengakui cabaran dan kekurangan sepanjang 10 tahun pentadbirannya serta memohon maaf atas sebarang jangkaan yang tidak dipenuhi.

    “Sepuluh tahun bukanlah tempoh yang panjang untuk menyelesaikan semua masalah negara kita. Mungkin saya telah melakukan kesilapan dalam beberapa langkah yang saya ambil dan kemungkinan besar saya melakukan banyak kesilapan,” katanya.

    Beliau melahirkan keyakinan terhadap masa depan negara di bawah Presiden terpilih Prabowo Subianto, yang akan memegang jawatan pada 20 Oktober 2024 serta berharap kejayaan dan bimbingan berterusan untuk Indonesia melangkah ke hadapan bagi mencapai visi Indonesia Emas 2045. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda