Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Dalam usaha untuk mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) akan mengemas kinikan permohonan membaharui Permit Kenderaan Komersial dan Pengangkutan Awam.
Menurut kenyataan dikeluarkan JPD di sini hari ini, pengemaskinian itu adalah khusus kepada syarikat-syarikat pengangkutan yang berdaftar di negara ini. Ia merupakan salah satu usahanya melaksanakan beberapa inisiatif ke arah pendigitalan perkhidmatan selaras dengan rancangan Pelan Strategik Jabatan yang mana antaranya termasuk permohonan membaharui permit secara dalam talian.
Sebagai persediaan mendigitalkan pembaharuan permit secara dalam talian, langkah interim akan diperkenalkan bermula 10 April bagi memudahkan dan mempercepatkan proses membaharui permit kenderaan.
Manakala syarikat-syarikat pengangkutan yang ingin membaharui Permit Kenderaan Komersil dan Pengangkutan Awam adalah dikehendaki untuk menghadapkan borang permohonan membaharui permit dan Sijil Asal Permit Kenderaan Komersil dan Pengangkutan Awam yang telah dikeluarkan sebelum ini sahaja.
Permit yang diperbaharui akan siap pada hari yang sama dan orang ramai bolehlah mengakses borang permohonan membaharui permit melalui www.jpd.gov.bn atau mengimbas kod QR.
Bagi sebarang per-tanyaan, orang ramai bolehlah menghubungi JPD semasa waktu pejabat melalui talian 2451990/91, WhatsApp 7181641 atau melalui e-mel info_ltd@jpd.gov.bn, atau melayari laman sesawang www.jpd.gov.bn dan Instagram @jpd.bn bagi maklumat lanjut.