Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jumlah angkatan keseluruhan Mohamad Aniq cetus bimbang PABM

    KUALA LUMPUR, 3 APRIL – Di sebalik perkhabaran gembira jaguh angkat berat Malaysia, Mohamad Aniq Kasdan mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan menamatkan kempen kelayakan terakhir di Phuket, Thailand, timbul kerisauan mengenai jumlah angkatan keseluruhannya ketika ini.
     
    Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata badang negara itu sekadar berhasil melakukan angkatan keseluruhan 290 kilogram (kg) berbanding sasaran 300kg diletakkan badan induk sukan itu di Kejohanan Piala Dunia IWF (Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa) yang sedang berlangsung.
     
    “Memang kita lihat sebelum pergi ke Phuket pun kedudukan beliau tidak akan terjejas dengan persembahan di kejohanan itu. Kita cuma letak sasaran untuk mempertingkatkan ranking dan jumlah angkatan.
     
    “Syukur dia sah ke Paris, cuma di Phuket ini kurang memberangsangkan. Sebelum ini kita berlatih di Acheh selama sebulan untuk perkemaskan angkatan, tapi tak tahu atas faktor apa ia tidak menjadi, jadi kita akan kaji. Dia pernah catat 296kg di Qatar Disember lepas,” katanya ketika dihubungi.
     
    Beliau berkata perkara itu menimbulkan kerisauan, tatkala atlet Malaysia lain sudah mula menunjukkan peningkatan daripada segi jumlah angkatan keseluruhan melebihi 300kg sebagai bekalan selesa bersaing di Sukan Olimpik Paris.
     
    “Sedangkan atlet Amerika Syarikat dan Thailand yang mempunyai jumlah angkatan di bawah Aniq sebelum ini telah melepasi beliau dengan jumlah cukup mengagumkan. Untuk dapatkan pingat Olimpik perlu sekurang-kurangnya dapat angkat jumlah angkatan 300kg hingga 310kg.
     
    Ayub berkata beliau telah meminta pihak jurulatih untuk melihat punca kemerosotan prestasi atlet berkenaan. – Bernama
     
    Aksi Aniq dalam kategori 55kg pada Sukan Komanwel Birmingham 2022. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda