KOTA KINABALU, 29 FEB – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah berjaya merampas 175,600 helai kain sarung pelbagai corak bernilai lebih RM1.6 juta pada 5 Januari lepas, dipercayai dibawa masuk ke dalam negara tanpa membayar cukai sepatutnya.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman, berkata kain sarung yang tersimpan dalam 439 guni itu ditemukan selepas pihaknya menyerbu kondominium di Ashton Tower di Inanam pada pukul 5 petang, dan seorang wanita warganegara China berumur 30an turut ditahan dalam serbuan itu.
Dia berkata, keseluruhan kain yang dianggarkan 39,510 kilogram itu dibawa masuk dari negara China, dipercayai untuk dijual dipasaran tempatan, dan siasatan awal mendapati kain itu diikrarkan sebagai garments fabrics semasa dibawa masuk.
Bercakap dalam sidang media hari ini dia berkata modus operandi bagi kes itu adalah menggunakan kod tarif yang lain dan deskripsi barang yang tidak betul dalam borang kastam 1, dan ia melibatkan cukai jualan RM163,531.89.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan itu dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan itu atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. – Bernama