Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kaji penyumbang NCD

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Negara Brunei Darussalam berdepan dengan peningkatan kadar kematian disebabkan oleh penyakit tidak berjangkit setiap tahun.

    Untuk mengatasi perkara itu, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan telah mengendalikan kaji selidik untuk menentukan faktor terbesar yang menyumbang kepada peningkatan dalam penyakit tidak berjangkit (NCD).

    Bukti terbaharu yang muncul menunjukkan kebanyakan NCD boleh dicegah dengan intervensi kesihatan ibu dan kanak-kanak, jelas Pengarah Centre for Advanced Research (CARe), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Siti Mazidah Haji Mohamad dalam kata alu-aluannya pada Majlis Penandatanganan Perjanjian Kolaborasi antara CARe, UBD dan Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian kesihatan yang berlangsung di Dewan Kuliah 2, Institut Sains Kesihatan PAPRSB, UBD, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatangan perjanjian berkenaan ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui; Penolong Naib Canselor (Penyelidikan) UBD, Profesor Madya Dr Abby Tan Chee Hong; Penolong Naib Canselor (Korporat dan Pentadbiran), Hajah Rubiah binti Haji Yacub; Penolong Naib Canselor (Inovasi dan Perusahaan), Profesor Dr Mohd Ayub Sadiq; Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik), Pengiran Dr Mohammad Iskandar Pengiran Haji Petra; Ketua Pusat Promosi Kesihatan, Dr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Kassim serta pegawai-pegawai dari UBD dan Pusat Promosi Kesihatan.

    Dr Hazri bergambar ramai bersama Dr Ang Swee Hui, Profesor Madya Dr Abby Tan, Dr Hajah Norhayati dan Dr Siti Mazidah.

    Dalam kata alu-aluannya lagi, Dr Siti Mazidah berkata penandatanganan itu adalah bagi Kaji Selidik Status Pemakanan dan Kesihatan Kebangsaan (NHANSS) ke-3 yang bermatlamat untuk menegakkan misi Pusat Promosi Kesihatan untuk memperkasakan masyarakat ke arah kehidupan sihat.

    Kaji selidik itu, tambahnya, dibahagikan kepada tiga fasa dan akan meliputi keempat-empat daerah.

    Dalam penandatanganan perjanjian itu, Kementerian Kesihatan diwakili oleh Dr Ang Swee Hui dengan saksi, Dr Hajah Norhayati dan bagi pihak UBD ialah Profesor Madya Dr Abby Tan dengan saksi, Dr Siti Mazidah.

    Matlamat NHANSS ke-3 adalah untuk menilai status pemakanan dan kesihatan serta amalan pemakanan penduduk Negara Brunei Darussalam.

    Faktor-faktor risiko utama NCD yang diketengahkan semasa kaji selidik berkenaan adalah pemakanan anak damit dan kanak-kanak, kesihatan reproduktif dan ibu, pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan, penggunaan tembakau, pengambilan alkohol serta aktiviti fizikal.

    Kaji selidik itu juga akan mengumpul data mengenai dengan tahap garam penduduk dalam air kencing, glukosa darah berpuasa dan tahap kolesterol, tekanan darah serta obesiti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda