OTTAWA, 5 OGOS – Kerajaan Kanada baru-baru ini mengumumkan bahawa ia telah menga-khiri rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai perjanjian penggunaan teknologi pelancaran angkasa AS, kepakaran dan data untuk pelancaran angkasa di Kanada.
Perjanjian tersebut, yang masih belum ditandatangani, akan menetapkan perlindungan undang-undang dan teknikal yang diperlukan sementara memastikan pengendalian teknologi sensitif dengan betul, kata kerajaan dalam satu kenyataan akhbar.
“Industri pelancaran angkasa komersial Kanada yang pesat membangun bergantung pada keupayaannya untuk bekerjasama me-rentasi sempadan,” kata Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Melanie Joly dalam kenyataan tersebut. “Penyelesaian rundingan antara Kanada dan AS menandakan kita semakin hampir untuk memuktamadkan perjanjian ini, yang, apabila dikuatkuasakan, akan menjadikan negara kita sebagai peneraju global dalam pelancaran angkasa komersial,” jelasnya.
Maritime Launch Services, syarikat yang membangunkan pusat angkasa komersial pertama Kanada di timur laut Nova Scotia, menyifatkan perjanjian itu sebagai langkah besar untuk industri itu.
“Kami berharap dapat menyambut pelanggan Amerika ke Nova Scotia dalam beberapa bulan akan datang semasa kami bersiap sedia untuk pelancaran orbit pertama Kanada dari Spaceport Nova Scotia pada 2026,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Stephen Matier.
Kerajaan persekutuan kini sedang dalam proses memodenkan rangka kerja peraturan mengenai aktiviti pelancaran angkasa komersial di tengah-tengah pertumbuhan pesat industri itu di peringkat global, menurut kenyataan itu.
Ottawa menyatakan harapan untuk meletakkan Kanada sebagai pemimpin masa depan dalam pelancaran angkasa komersial. – AP