TOKYO, 31 MAC – Sebuah kapal pembinasa tentera laut Jepun dan sebuah bot nelayan China telah berlanggar di laut di luar Shanghai tetapi tidak adanya laporan kecederaan, menurut media Jepun awal hari ini.
Kapal pembinasa Shimakaze, daripada Pasukan Pertahanan Maritim Jepun, mengalami kerosakan di bahagian kiri, kata agensi berita Kyodo, memetik Kementerian Pertahanan.
Kedua-dua kapal tentera laut dan bot nelayan, dengan 13 orang kru, masih boleh belayar di bawah pengemudian mereka sendiri, kata tentera Jepun, menurut Kyodo.
Ia berkata Shimakaze sedang menjalankan rondaan selepas bertolak dari pelabuhan Sasebo pada Ahad.
Kementerian pertahanan berkata ia akan bekerjasama dengan siasatan pengawal pantai Jepun serta melancarkan satu siasatan dalam tentera laut, lapor Kyodo.
Menurut penyiar awam NHK, kejadian itu berlaku kira-kira 650 kilometer dari barat Pulau Yakushima, Jepun.
Kawasan ini terletak di utara pulau yang dipertikaikan yang digelar oleh Tokyo sebagai Senkaku dan Beijing melabelnya pulau Diaoyu. – AFP