Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Karam, feri ikonik akan dilupuskan

    BUTTERWORTH, 24 JULAI – Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPP) bertindak menambah tali pengikat feri (mooring lines) dan memasang boom bagi mencegah tumpahan minyak sejurus menerima laporan mengenai Feri Pulau Kapas karam awal pagi tadi.

    Pengerusinya, DATUK Yeoh Soon Hin berkata pihaknya mendapat laporan berhubung feri yang ditambat di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) itu pada 3:24 pagi.

    “Feri yang ditambat di Dermaga 2, PSAH itu telah mengalami kebocoran dan tidak lagi boleh dibuat pembaikan. Penyiasatan yang dijalankan pada awal pagi tadi mendapati Feri Pulau Kapas karam separuh bahagian sahaja memandangkan air laut masih surut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu Bernama melaporkan feri ikonik Pulau Pinang itu tenggelam awal pagi ini dipercayai berpunca daripada tali pengikat putus akibat angin kuat.

    Feri yang dibina pada 1981 itu ditamatkan operasinya pada 31 Mei 2020 dan kemudian ditempatkan di PSAH.

    Yeoh berkata SPPP memutuskan untuk melupuskan feri-feri ikonik dengan kadar segera kerana kerja pembaikan tidak dapat dilaksanakan lagi disebabkan pereputan yang serius serta tidak boleh diapungkan.

    Beliau berkata feri berkenaan diserahkan kembali kepada SPPP oleh Prasarana Malaysia Berhad pada 1 Januari 2021.

    Yeoh berkata SPPP telah memajak feri ikonik termasuk Feri Pulau Kapas kepada beberapa syarikat berkelayakan untuk dijadikan produk pelancongan negeri pada 2021.

    “Namun begitu, hasrat untuk menjadikan Feri Pulau Kapas ini sebagai sebuah restoran terapung tidak dapat direalisasikan memandangkan terdapat ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian pajakan dan pajakan telah ditamatkan pada 5 Februari 2023,” katanya. – Bernama

    SPPP telah mengambil tindakan segera selepas mendapat laporan berhubung sebuah feri ikonik iaitu Feri Pulau Kapas yang ditambat di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) pada 24 Julai. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda