Saturday, May 4, 2024
24 C
Brunei

    -

    Kekalkan kebersatuan dalam kepelbagaian Sabah

    PENAMPANG, 30 MEI – Semangat kebersatuan dalam kepelbagaian dipegang sekian lama rakyat Sabah wajar dikekalkan untuk generasi akan datang sebagai cerminan aspirasi Keluarga Malaysia, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

    Beliau berkata rakyat Sabah sangat bertuah dikurniakan pelbagai budaya serta seni tradisi yang kaya dan menjelang sambutan Pesta Kaamatan, semangat perpaduan, persaudaraan, persahabatan dan semangat kebersamaan dalam kepelbagaian rakyat daripada suku, kaum dan budaya itu amat terserlah.

    “Kepelbagaian etnik di Sabah yang boleh duduk semeja tanpa mengira sentimen agama dan bangsa adalah gambaran dan semangat sebenar Keluarga Malaysia yang perlu dikekalkan dan dipelihara selamanya.

    “Saya ingin menyeru seluruh rakyat untuk mengekalkan budaya perpaduan dan permuafakatan demi masa depan yang lebih cemerlang untuk rakyat Sabah dan generasi akan datang,” katanya dalam ucapan merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2022 di sini hari ini.

    Pesta Kaamatan merupakan pesta bagi melahirkan rasa kesyukuran atas hasil tuaian yang baik pada asalnya diraikan masyarakat Kadazandusun, namun berkembang sebagai pesta diraikan rakyat Sabah yang berbilang latar belakang pada Mei setiap tahun dan diakhiri dengan majlis penutupan esok.

    Hajiji berkata pemilihan tema Pesta Kaamatan tahun ini iaitu ‘Kaamatan Menjiwai Alam Semula Jadi’ atau dalam bahasa Kadazan-Dusun ‘Kaamatan Monunduan Do Winorun’ amat tepat terutama sekali dengan pelbagai fenomena akibat perubahan iklim dunia pada masa kini.

    Katanya dengan tema itu diharapkan ia dapat memberi kesedaran dan peringatan kepada semua lapisan masyarakat untuk memelihara dan memulihara alam semula jadi yang diwarisi untuk generasi akan datang. – Bernama

    Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) diiringi Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan (kiri) dan Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak Datuk Dr Maximus Ongkili (kanan) ketika tiba untuk merasmikan majlis pembukaan Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan semalam. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...