Tuesday, September 17, 2024
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemenangan akhir: Hadiah istimewa buat penduduk Sabah

    KOTA KINABALU, 9 SEPT – Penghakiman terakhir Mahkamah Agung Belanda yang menolak rayuan kumpulan Sulu berhubung isu Sabah, merupakan hadiah istimewa buat rakyat Sabah sempena sambutan Hari Malaysia dan Hari Sabah 2024.

    Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pihaknya akan terus menyokong segala usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan dan kepentingan rakyat Sabah dan Malaysia dilindungi setiap masa.

    “Terima kasih kerana sentiasa mempertahankan kedaulatan Sabah dalam Malaysia. Kemenangan Malaysia di Mahkamah Agung Belanda ke atas rayuan kumpulan Sulu adalah berita baik buat seluruh rakyat Sabah.

    “Keputusan ini membuktikan bahawa Sabah berdaulat dalam Malaysia. Ia sekali gus menamatkan tuntutan kumpulan Sulu yang Sabah tidak pernah iktiraf sejak dari awal lagi,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, PBRS menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan atas komitmen dan usaha Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang begitu serius untuk memastikan segala tuntutan oleh pihak luar ke atas Sabah dapat dinoktahkan segera.

    Jumaat lepas (6 September), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan, kerajaan telah memperoleh kemenangan penting terakhir di Mahkamah Agung Belanda, yang membuat keputusan memihak kepada Malaysia, dan menolak rayuan yang difailkan oleh pihak berkenaan.

    Penghakiman yang memihak Malaysia itu, secara berkesan membatalkan tuntutan yang dikemukakan kumpulan itu. – Bernama

    Arthur Joseph Kurup (tengah) semasa bercakap kepada pemberita pada Majlis Perasmian Karnival Jualan Agro MADANI Mega Negeri Terengganu 2024 di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu pada 29 Ogos. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda