Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kementerian Pertahanan, UBD meterai MoU

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Memorandum persefahaman (MoU) mengenai Pemodenan Pendidikan Tentera Profesional bagi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan penubuhan Fakulti Pengajian Tentera di antara Kementerian Pertahanan dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah dimeterai dalam majlis penandatanganan MoU yang berlangsung di Auditorium, Akademi Pertahanan (AP) ABDB, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin; Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle; ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif ABDB, pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan dan UBD.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Leftenan Kolonel Ariffin bin Amit @Hamid dan kemudian diikuti dengan ucaptama daripada Pengarah Institut Pengajian Dasar UBD, Dr Mahani binti Haji Hamdan.

    Dalam ucaptamanya, beliau menyatakan penandatanganan MoU itu menandakan mercu tanda yang signifikan di mana ia memperkenalkan penubuhan sebuah Fakulti Pengajian Tentera yang baharu, bidang-bidang kolaborasi yang baharu termasuk pengajian peperangan (War Studies) dan keupayaan ketenteraan serta pelancaran dua program akademik baharu iaitu Bachelor of Defence and Security Studies dan Master of Defence and Security Studies.

    Dr Mahani semasa menyampaikan ucaptama pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Kolonel Pengiran Sharifuddin (dua kiri) dan Profesor Madya Pengiran Dr Mohammad Iskandar (dua kanan) menandatangani MoU dengan disaksikan oleh Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi dan Dr Hazri. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Beliau turut menyatakan bahawa mereka akan menyemak secara berterusan dan memperhalusi modul serta penilaian, memupuk pemikiran kritikal dan nilai-nilai bersama antara pihak universiti dan angkatan bersenjata.

    Majlis seterusnya menyaksikan penandatanganan MoU di mana menandatangani bagi pihak Kementerian Pertahanan ialah Komandan AP ABDB, Kolonel Pengiran Sharifuddin bin Pengiran Haji Yussof sementara mewakili UBD ialah Penolong Naib Canselor (Pendidikan) UBD, Profesor Madya Pengiran Dr Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra.

    Majlis penandatanganan itu disaksikan oleh Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi dan Dr Hazri. Bagi mengakhiri majlis berkenaan Doa Selamat dibacakan oleh Pemangku Pengarah JAMA’AT.

    MoU itu menggariskan rangka kerja kerjasama bagi pemodenan Pendidikan Tentera Profesional ABDB melalui pembangunan kurikulum dan fakulti serta integrasi teknologi.

    MoU itu juga bertujuan untuk menubuhkan Fakulti Pengajian Tentera yang akan menyelia dan memupuk pegawai-pegawai tentera yang berkemahiran dan berpendidikan tinggi khusus bagi menjalankan penyelidikan lanjutan serta menawarkan pembangunan profesional dalam sektor pertahanan dan sekuriti.

    MoU berkenaan menekankan akan kepentingan di dalam mengukuhkan daya tahan keselamatan negara menerusi program latihan bersama, bengkel dan pertukaran akademik melalui peranan pendidikan terhadap keselamatan negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda