Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Khasiat di sebalik kemanisan rasa jambu air

    JAMBU air atau nama saintifiknya Syzgium aqueum merupakan tanaman buah-buahan yang memiliki rasa manis dan masam yang menyegarkan. Ia tergolong dalam keluarga Myrtaceae dan biasanya pokok jambu air banyak ditanam di halaman rumah di kawasan kampung.

    Pokok jambu air ini dikatakan berasal dari Asia Tenggara. Buahnya berbentuk seperti loceng dan berwarna merah atau merah jambu. Buahnya memiliki kulit nipis dan licin.

    Jambu air mengandungi nilai pemakanan yang berkhasiat. Dikatakan 100 gram jambu air mengandungi 29 miligram (mg) kalsium, 123 mg kalium dan 13 mg sulfur. Dalam jumlah yang sama juga, buah jambu air menyediakan lebih kurang 24.78 peratus vitamin C. Manakala jumlah lemak adalah sebanyak 0.86 peratus, besi 0.88 peratus dan fosforus sebanyak 1.14 peratus.

    Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa pengambilan jambu air mampu memberikan kebaikan untuk kesihatan dan kecantikan.

    Jambu air mengandungi jambosine yang merupakan sejenis alkaloid yang berupaya menunjukkan kesan yang memberangsangkan dalam menghalang atau menyelaraskan penukaran kanji kepada gula.

    Mengawal penyakit diabetes

    Jambu air mengandungi jambosine. Jambosine adalah sejenis alkaloid yang dikatakan telah menunjukkan kesan yang memberangsangkan dalam menghalang atau menyelaraskan penukaran kanji kepada gula. Ini amat penting kepada pesakit diabetes dan mereka yang berisiko untuk mendapat diabetes.

    Membantu pencernaan

    Kandungan serat tinggi dalam buah jambu air menjadikan ia amat baik untuk menyelaraskan kemasukan makanan ke dalam saluran pencernaan, melegakan sembelit dan banyak lagi masalah kesihatan.

    Malah dalam perubatan tradisional dikatakan biji buah jambu air telah digunakan untuk mencegah cirit-birit dan disenteri (najis berdarah).

    Mencegah kanser

    Sebatian organik aktif dalam buah jambu air digabungkan dalam vitamin C dan vitamin A dikatakan memiliki kesan efektif dalam rawatan pencegahan kanser.

    Kajian awal dan perubatan tradisional mendakwa bahawa kanser payudara dan kanser prostat mampu dikurangkan dengan mengambil jambu air dalam pemakanan.

    Kandungan serat dalam jambu air berupaya untuk membantu proses pencernaan sekaligus menghalang sebarang gejala keracunan makanan.

    Mengurangkan keracunan

    Selama beratus tahun, air rebusan buah jambu air telah digunakan sebagai bahan diuretik. Cara ini dikatakan mampu membantu mengeluarkan keracunan daripada hati dan buah pinggang.

    Ia dikatakan juga mampu merangsang kesihatan keseluruhan dan kekurangan metabolisme dalam tubuh.

    Menjaga kesihatan jantung

    Gabungan serat dan zat di dalam buah jambu air dikatakan menunjukkan kesan penting dalam kajian terhadap kolestrol yang membawa kepada merendahkan peluang untuk mengalami aterosklerosis.

    Ia sekaligus mencegah komplikasi masalah kardiovaskular seperti serangan jantung, strok dan penyakit jantung koronari.

    Kekebalan sistem tubuh

    Bahan aktif dan meruap dalam buah jambu air dikaitkan dengan memiliki kesan anti mikrob dan anti kulat.

    Kajian menunjukkan bahawa ia mampu melindungi kulit daripada mendapat jangkitan dan boleh merangsang kekuatan sistem imun menentang penyakit berjangkit.

    Vitamin C di dalam jambu air mengandungi antioksidan yang berupaya melawan penuaan kulit.

    Melembapkan kulit

    Kulit yang kekurangan air akan kering dan kusam. Pengambilan buah yang mengandungi banyak air seperti jambu air dikatakan mampu memberikan sumbangan air dan vitamin C yang banyak.

    Vitamin C mengandungi antioksidan yang mampu melawan penuaan kulit pada masa yang akan datang.

    Mencegah kekejangan otot

    Jambu air mengandungi sejumlah kandungan kalium yang mampu meningkatkan kekuatan otot dan mengurangkan kekejangan otot yang timbul berikutan dengan kandungan rendah kalium.

    Mencegah tulang rapuh

    Kandungan kalsium dan mineral yang terkandung dalam buah jambu air mampu memperkuat tulang.

    Ini akan mampu mencegah dari salah satu masalah tulang iaitu osteoporosis atau tulang rapuh seiring dengan peningkatan usia anda.

    Menyihatkan ibu hamil

    Kandungan vitamin A dalam jambu air sangat berguna jika diambil oleh ibu dalam masa kehamilan kerana ia mampu menjaga kesihatan mata, meningkatkan fungsi sel darah putih dan juga antivirus sehingga mampu meningkatkan sistem imun tubuh ibu yang hamil.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda