Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea U kecam deklarasi NATO eksport senjata ke Rusia

    SEOUL, 14 JULAI – Korea Utara mengecam deklarasi pada sidang kemuncak NATO baru-baru ini yang mengutuk pengeksportan senjatanya kepada Rusia, dengan menyifatkan dokumen tersebut sebagai ‘tidak sah’, lapor media kerajaan, kelmarin.

    Dalam deklarasi bersama minggu ini, pemimpin NATO mengkritik Korea Utara kerana ‘membantu peperangan pencerobohan Rusia terhadap Ukraine’ dengan ‘memberi sokongan ketenteraan secara langsung’ kepada Moscow.

    Pemimpin NATO juga menyuarakan ‘kebimbangan mendalam’ mengenai sokongan industri China terhadap Rusia.

    Korea Utara berulang kali menafikan dakwaan bahawa ia menghantar senjata kepada Moscow, tetapi pada bulan Jun, pemimpinnya, Kim Jong Un dan Presiden Rusia, Vladimir Putin menandatangani perjanjian yang merangkumi ikrar untuk saling membantu ketenteraan jika diserang.

    Agensi berita pusat Korea, KCNA melaporkan kelmarin bahawa Kementerian Luar Negeri ‘mengecam dan menolak sekeras-kerasnya’ deklarasi NATO tersebut.

    Memetik seorang jurucakap kementerian, agensi itu menyatakan bahawa deklarasi itu ‘mencetuskan Perang Dingin baharu dan konfrontasi ketenteraan pada skala global’, dan memerlukan ‘kekuatan dan kaedah tindak balas baharu’.

    Pada sidang kemuncak NATO, Seoul dan Washington minggu ini turut menandatangani garis panduan mengenai sistem pencegahan bersepadu untuk Semenanjung Korea bagi menghadapi ancaman nuklear dan ketenteraan Korea Utara.

    Pejabat Presiden Korea Selatan menyatakan bahawa Seoul dan Washington akan melaksanakan latihan ketenteraan bersama untuk membantu melaksanakan garis panduan yang baru diumumkan itu, yang merasmikan penempatan aset nuklear AS di dan sekitar Semenanjung Korea untuk mencegah dan memberi respons terhadap potensi serangan nuklear oleh Pyongyang. – AFP

    Putin (kiri) dan Jong Un bertukar dokumen semasa majlis menandatangani perkongsian baharu di Pyongyang, Korea Utara, pada 19 Jun. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda