Sunday, May 5, 2024
23.4 C
Brunei

    -

    Labuan giatkan pelancongan

    LABUAN, 8 FEB – Penganjuran Cabaran Laut Antarabangsa antara 40 acara disenaraikan dalam Kalendar Acara Labuan 2023 yang telah dilancarkan Perbadanan Labuan.

    Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail berkata sebahagian daripada acara berkenaan dianjurkan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan dan badan sukan di pulau bebas cukai itu.

    “Kami akan meneruskan usaha melonjakkan sektor pelancongan dengan menganjurkan pelbagai program menarik bagi menggamit pengunjung ke pulau ini.

    “Kami menjangkakan lebih 10,000 pengunjung datang ke Labuan bersempena penganjuran acara-acara berkenaan yang akan bermula Mac depan,” katanya pada sidang media di Wisma Perbadanan Labuan hari ini. Rithuan berkata LISC 2023 yang merupakan acara tahunan paling berprestij dijadual diadakan pada 9 hingga 14 April depan.

    Beliau berkata peminat automotif juga boleh mengintai peluang mengunjungi Labuan bulan depan kerana Labuan Mega Gath and Autoshow 2023 akan dianjurkan pada 4 Mac.

    Rithuan (tengah) menunjukkan poster pelancongan pada majlis pelancaran ‘Calendar Of Events’ Pelancongan Labuan 2023 di Wisma Perbadanan Labuan kelmarin. – Bernama

    “Labuan juga akan menerima pelancong asing menerusi penganjuran beberapa acara antarabangsa termasuk Pameran Kucing Antarabangsa.

    Acara bertaraf antarabangsa lain ialah Kejohanan Labuan X-Multisport Challenge, Labuan Ride 2023, Labuan Team Time Trial (LTT) dan Cross Channel Labuan.

    “Labuan telah merekodkan kedatangan lebih 960,000 pengunjung pada tahun lepas, justeru, kami yakin jumlah berkenaan akan meningkat tahun ini,” katanya dan menambah lebih 86,000 orang direkodkan mengunjungi Labuan menerusi 15 acara pelancongan yang dianjurkan tahun lepas.

    Menurut Rithuan, bagi Pertandingan Memancing Laut Dalam Antarabangsa Labuan bersempena LISC 2023, seramai 229 kaki pancing dari pelbagai negara telah mengesahkan penyertaan termasuk dari Macau, Australia, Hong Kong dan Brunei selain peserta tempatan.

    “Kami akan mengadakan kerjasama dengan pengusaha hotel dan inap desa bagi memastikan penginapan mencukupi dan dengan kadar istimewa,” katanya.

    Beliau berkata Perbadanan Labuan selaku penganjur utama juga akan mengemukakan surat kepada syarikat penerbangan untuk turut menawarkan kadar istimewa kepada pengunjung bagi menghadiri acara-acara berkenaan. – Bernama

    Rithuan (tengah) menunjukkan poster pelancongan pada majlis pelancaran ‘Calendar Of Events’ Pelancongan Labuan 2023 di Wisma Perbadanan Labuan kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...