Friday, May 3, 2024
23 C
Brunei

    -

    Laporan: Rakyat Malaysia pada tahap bahagia

    PUTRAJAYA, 22 JULAI – Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) pada 2021 berada pada tahap bahagia apabila mencatatkan skor 6.48, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

    Menurut Laporan MHI yang julung kali dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Labuan merekodkan skor 9.29 iaitu ‘Sangat Bahagia’, manakala 11 negeri berserta Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan skor pada tahap ‘Bahagia’, dan Melaka serta Selangor pula berada pada tahap Sederhana Bahagia.

    “Secara keseluruhannya penduduk Malaysia berada pada tahap bahagia walaupun negara berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi, pada tahun pelaksanaan Survei MHI 2021,” kata Mohd Uzir dalam sidang media selepas melancarkan Laporan MHI itu di sini, hari ini.

    Laporan MHI itu dilaksanakan dari September hingga November 2021 melibatkan 42,446 responden dari seluruh negara, dan dibangunkan berdasarkan manual antarabangsa antaranya, World Happiness Report (WHR) dan Human Development Index (HDI).

    Kajian yang dilaksanakan untuk mengukur tahap kebahagiaan penduduk Malaysia dari aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual itu dikategorikan kepada lima skor iaitu nilai 0.00 – 2.00 sangat tidak bahagia; 2.01 – 4.00 tidak bahagia; 4.01 – 6.00 sederhana bahagia; 6.01 – 8.00 bahagia dan 8.01 – 10.00 sangat bahagia.

    Mohd Uzir berkata kajian MHI itu mengandungi 73 indikator yang dirangkumkan kepada 13 komponen iaitu keluarga; perumahan dan alam sekitar; penyertaan sosial; kesihatan; kemudahan komunikasi; pendidikan; persekitaran kerja; pendapatan; keselamatan awam; penggunaan masa; amalan kerohanian; kebudayaan dan pengalaman emosi.

    Dari segi jantina, perempuan mencatatkan skor MHI lebih tinggi iaitu 6.49 berbanding lelaki dengan skor 6.46. – Bernama

    Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin semasa melancarkan Laporan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021 di Jabatan Perangkaan Malaysia, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...