Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laung muzik klasik untuk halau golongan muda

    ESPOO, FINLAND, 12 JULAI – Sejak beberapa tahun kebelakangan, bandar Espoo di Finland telah menggunakan taktik luar biasa untuk mengelak golongan muda berpesta di pantai tempatan, iaitu dengan melaungkan muzik klasik menggunakan pembesar suara.

    Tiada bukti saintifik yang menunjukkan bahawa golongan muda tidak menyukai muzik klasik, tetapi polis di Espoo berkata taktik tersebut berkesan dan telah menggunakan cara itu sejak enam tahun lalu.

    Pada penghujung tahun persekolahan, pantai di kejiranan Haukilahti Espoo menjadi tempat perhimpunan yang popular bagi golongan muda untuk berpesta sehingga lewat malam.

    Menurut laporan Oddity Central, pihak berkuasa tempatan telah mencuba pelbagai kaedah lain untuk menyuraikan mereka, tetapi tidak ada yang berkesan kecuali selepas memasang muzik klasik seperti The Blue Danube oleh Strauss, Four Seasons oleh Vivaldi dan Ave Maria oleh Schubert.

    Semuanya bermula pada awal Jun, polis melaungkan muzik klasik dari beberapa pembesar suara di pantai untuk mengelakkan golongan muda berkumpul di sana selepas matahari terbenam.

    “Atas sebab tertentu, muzik klasik tidak menarik minat golongan muda dan mereka menjauhkan diri dari tempat yang terdapat muzik klasik,” kata Mikko Juvonen dari Jabatan Polis Uusimaa Barat kepada Yle.

    “Kami lebih suka melihat golongan muda jauh dari tempat ini dan gembira melihat golongan berkeluarga datang dan berenang di sini pada waktu pagi apabila pantai bersih.”

    Sebelum ini, Haukilahti adalah tempat perhimpunan yang popular untuk pesta akhir semester yang biasanya meninggalkan timbunan sampah dan kaca pecah. Sekarang, polis Espoo tidak lagi perlu bimbang kerana tiada belia mahu berada di sekitarnya apabila muzik klasik mula dimainkan.

    Beberapa penduduk tempatan mengaku bahawa mereka mendapati inisiatif polis agak pelik, tetapi kerana ia berfungsi dengan baik, tiada siapa yang nampaknya mengadu. – Agensi

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda