Monday, September 16, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 100 sertai khatam Al-Quran

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Kumpulan Meraih Barakah (KMB) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran hari ini bersempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 tahun.

    Majlis yang berlangsung di Masjid Ash-Shaliheen itu dihadiri lebih 100 peserta. Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil kepada peserta khatam pada majlis itu ialah isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Asbi.

    Di majlis itu, bacaan khatam diketuai oleh Pengiran Hajah Halijah binti Pengiran Haji Damit, manakala Doa Hari Keputeraan Baginda Sultan dibacakan oleh Dayang Hartini binti Hashim.

    Ketua KMB, Hajah Florinda binti Haji Mejenis telah menyampaikan wakaf berupa dua unit penyaman udara daripada ahli KMB kepada Guru Besar Sekolah Rendah Sengkarai Tutong 1, Hajah Suzanawati binti Haji Mat Kria.

    Majlis itu menyaksikan penyampaian infaq berupa pakej menunaikan ibadah umrah kepada Dayang Maimunah binti Morsidi, salah seorang ahli KMB yang bergiat aktif.

    Dengan adanya majlis seumpama ini, KMB akan terus melaksanakan kerja-kerja berkebajikan dan mengimarahkan Negara Brunei Darussalam dengan aktiviti yang diredai Allah.

    Datin Hajah Nahriah menyampaikan wakaf kepada Hajah Suzanawati pada majlis yang berlangsung di Masjid Ash Shaliheen.
    – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara jemputan yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda