Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Leclerc ungguli GP Monaco

    MONTE CARLO, 27 MEI – Charles Leclerc akhirnya menamatkan rentetan kegagalan di Grand Prix Monaco, kelmarin apabila Red Bull mengalami hujung minggu yang malang dengan Max Verstappen berakhir di tempat keenam dan Sergio Perez terlibat dalam kemalangan pada pusingan pertama.

    Leclerc mengakhiri kekecewaannya selama bertahun-tahun pada perlumbaan di tempat asalnya dengan meraih kemenangan dari petak pertama pada percubaan kali ketiga.

    Leclerc berkata,”Tiada kata-kata yang dapat mengungkapkan perasaan ini. Ia sangat bermakna, ini adalah perlumbaan yang membuatkan saya bermimpi menjadi pemandu F1. Malam ini akan menjadi malam yang menakjubkan!”

    Pemandu McLaren, Oscar Piastri, mengikuti Leclerc melintasi garisan penamat dengan Carlos Sainz dalam Ferrari menduduki tempat ketiga.

    Leclerc memulakan perlumbaan di hadapan di litar yang pernah dilaluinya dengan bas ke sekolah semasa kecil pada tahun 2021 dan 2022, namun nasib malang menghalangnya daripada menang untuk kedua kali.

    Leclerc ketika beraksi semasa di Litar Monaco. – AFP

    Dengan Ferrari kini di bawah kendalian Fred Vasseur yang lebih baik, pasukan Ferrari yang lebih cekap kini menyaksikan Leclerc mengawal rentak perlumbaan dengan sempurna dari hadapan, sehingga akhir pusingan pertama.

    Pada masa itulah bendera merah terpaksa dikeluarkan untuk menghentikan perlumbaan selepas kemalangan tiga buah kereta dengan Red Bull dipandu Perez hancur berkecai akibat pelanggaran oleh pasukan Haas, Kevin Magnussen.

    Nico Hulkenberg dalam jentera Haas turut menjadi mangsa ketiga yang tidak bersalah. Perlumbaan di jalan-jalan sempit Principality terhenti selama 30 minit untuk membolehkan serpihan dibersihkan dari litar.

    Ketiga-tiga mangsa kemalangan tidak kembali untuk memulakan semula perlumbaan bersama dengan Esteban Ocon dari pasukan Alpine yang terpaksa menarik diri selepas bertembung dengan rakan sepasukannya, Pierre Gasly.

    Leclerc terlepas daripada kemalangan tersebut dan memimpin sepanjang baki perlumbaan untuk meraih kemenangan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda