Saturday, May 4, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Lelaki lemas ketika bercuti di Air Terjun Sekayu

    KUALA BERANG, 24 APRIL – Kegembiraan enam sekawan bercuti di Air Terjun Sekayu, Hulu Terengganu di sini bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, pagi tadi.

    Dalam kejadian itu, Syafiq Haikal Sharudin, 25, dipercayai lemas selepas menyelamatkan rakannya yang terjatuh ke dalam air sewaktu mendaki laluan berbukit di tepi kawasan air terjun itu.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang Zulhisham Mohamad Yusop berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11:18 pagi sebelum menggerakkan sebuah jentera dan 10 anggota termasuk tiga anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ke lokasi.

    “Setibanya di lokasi, semua rakan mangsa dan beberapa orang awam berkumpul di tempat kejadian, bagaimanapun mangsa sudah tidak kelihatan di permukaan.

    “Setelah melakukan skin dive, anggota PPDA berjaya menemukan mangsa di celah batu pada kedalaman 1.5 meter di lokasi mangsa dilaporkan hilang pada 12:15 tengah hari,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Zulhisham berkata mayat mangsa yang berasal dari Padang Hiliran, Kuala Terengganu telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, rakan mangsa, Daniel Asmadi, 25, berkata percutian mereka berenam ke situ dibuat secara mengejut, namun tidak menyangka ia bertukar menjadi tragedi hitam yang meragut nyawa Syafiq Haikal.

    “Kami bertolak dari Kuala Terengganu kira-kira pukul 9 pagi dan sampai di Sekayu, pada 10 pagi. Selepas itu, tiga daripada kami hiking untuk ke bahagian atas air terjun dan tiga lagi rakan saya berehat di atas batu di air terjun.

    “Tiba-tiba, saya hilang keseimbangan sebelum tergelincir dan hampir lemas. Syafiq Haikal kemudiannya hulur kaki untuk saya berpaut. Malangnya, dia pula tergelincir dan jatuh ke dalam air,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Daniel berkata dia kemudian cuba menarik tangan Syafiq Haikal, namun tidak berjaya.

    “Saya berasa sangat terkilan kerana tak dapat selamatkan Syafiq Haikal. Apatah lagi, dia pergi kerana cuba selamatkan saya,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...