Sunday, May 5, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Expro Brunei lancar 264 panel suria

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 24 APRIL – Bagi mengurangkan penggunaan elektrik di pejabat sebanyak 80 peratus, Expro Brunei telah mengambil inisiatif untuk memasang sebanyak 264 panel suria, mampu menjana 145.2kWj, yang telah dirasmikan hari ini di Taman Perindustrian Sungai Bera, Seria.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis sekali gus merasmikan pengoperasian panel suria baharu berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Pengurus Negara Expro Brunei, Brendon Tan dalam ucapannya menekankan bahawa pemasangan panel itu akan mengurangkan pengambilan tenaga dari grid kebangsaan, bersamaan dengan penggunaan tenaga purata 15 buah rumah penduduk tempatan setiap tahun.

    “Dari segi alam sekitar, ia bersamaan dengan menanam 96 pokok setahun, menjimatkan 60 tan arang, atau mengelakkan 72 tan CO2,” tambahnya.

    Menurut beliau lagi, keputusan mereka untuk menerima tenaga suria melambangkan pematuhan teguh Expro terhadap prinsip kemampanan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew melawat bilik server yang menempatkan peralatan digunakan untuk mengawasi pemasangan panel. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bergambar ramai bersama warga Expro Brunei yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa merasmikan pemasangan 264 panel suria di Taman Perindustrian Sungai Bera, Seria. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    “Melalui inisiatif Warga Korporat Dunia, kami berusaha untuk memberi kesan positif kepada komuniti dan persekitaran tempat kami beroperasi,” ujarnya lagi.

    Beliau berkata, walaupun Brunei mungkin menikmati harga tenaga yang menggalakkan berbanding negara-negara lain, menerima tenaga boleh diperbaharui melebihi daripada ekonomi semata-mata.

    “Dengan mendahului dalam penggunaan solar, kami bercita-cita untuk menunjukkan contoh dan memberikan inspirasi kepada orang ramai bagi meneroka sumber tenaga alternatif. Tindakan hari ini meletakkan asas untuk masa depan yang lebih cerah dan lebih mampan untuk generasi akan datang,” ujarnya.

    Selepas ucapan-ucapan, majlis diteruskan dengan tayangan video pendek yang memaparkan garis masa panel suria dipasang dan digunakan oleh syarikat berkenaan.

    Selepas pelancaaran panel suria, majlis diikuti dengan lawatan ke bilik server yang menempatkan peralatan yang digunakan untuk mengawasi pemasangan panel tersebut.

    Selain merasmikan panel suria tersebut, pihak syarikat turut mengambil kesempatan dalam majlis tersebut untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan mengadakan Pejabat Terbuka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...