Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Leverkusen lebar rekod tanpa kalah

    MUNICH, 13 MEI – Bayer Leverkusen melebarkan rekod tanpa kalah sepanjang musim mereka kepada 50 perlawanan dengan kemenangan 5-0 di Bochum yang beraksi dengan 10 pemain awal pagi tadi.

    Kemenangan tersebut merupakan pembalasan setelah Bochum menjadi pasukan terakhir yang menewaskan pasukan Xabi Alonso dalam mana-mana pertandingan pada Mei 2023, tetapi kali ini gol Leverkusen datang daripada lima penjaring berbeza.

    Juara liga Alonso hanya tinggal satu perlawanan lagi daripada musim pertama Bundesliga tanpa kalah dan tiga perlawanan daripada treble yang luar biasa.

    Pemain tengah Leverkusen, Robert Andrich memberitahu DAZN bahawa dia meletakkan sasarannya pada triple ‘unik’.

    “Kami tidak dapat membayangkan betapa bermakna gelaran Bundesliga kepada kelab dan peminat.

    “Minggu depan kami akan menjulang trofi tertinggi di stadium kami sendiri, yang pastinya penuh emosi dan indah. Selepas itu kami akan ke Dublin dan Berlin dan kami mahu merangkul kedua-dua kejuaraan dan pergi bercuti dengan triple dalam beg galas kami,” kata Andrich.

    Dalam tempoh tiga hari pada hujung Mei nanti, Leverkusen bakal berdepan Atalanta dalam perlawanan akhir Liga Europa di Dublin sebelum menentang divisyen dua Kaiserslautern dalam perlawanan akhir Piala Jerman.

    Bochum kehilangan seorang pemain lebih awal apabila Felix Passlack dilayangkan kad merah kerana melakukan kekasaran terhadap Nathan Tella.

    Dengan kehilangan maestro penyerang bahagian tengah, Florian Wirtz akibat kecederaan, Alonso memulakan perlawanan dengan menempatkan Victor Boniface dan Patrik Schick sebagai penyerang dan kedua-duanya menjaringkan gol pada separuh masa. – AFP

    Pemain Leverkusen menunjukkan ‘50’ bagi menandakan perlawanan ke-50 tanpa kalah mereka musim ini di Bochum. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda