Saturday, May 4, 2024
26.4 C
Brunei

    -

    Lima bakal mara ke final Pertandingan Pidato Kebangsaan

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Peringkat saringan Pertandingan Pidato Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bagi menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40, tahun 2024 dan Bulan Bahasa diadakan hari ini.

    Seramai 22 orang peserta bertanding dalam peringkat berkenaan yang dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pagi di Bilik Pateh Berbai dan sesi petang di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas yang juga disiarkan secara langsung melalui penstriman Facebook DBP.

    Lima orang peserta yang mempunyai markah tertinggi dalam peringkat berkenaan akan mara ke peringkat akhir yang akan diadakan pada 7 Mei di Balai Samaryuda, DBP.

    Pertandingan dibukakan kepada belia berumur antara 15 hingga 35 tahun bagi warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam.

    Para peserta diberikan kebenaran dan kebebasan untuk menyediakan tajuk pidato yang bersesuaian dengan isu terkini atau semasa yang signifikan dengan, sama ada perkembangan bahasa Melayu, pembangunan ekonomi, masa depan belia, pembangunan kapasiti, dan budaya, asalkan tidak menyentuh sensitiviti yang berkaitan dengan bangsa, ras, mempolemikkan agama, politik, ketatanegaraan, kebudayaan atau terhadap keperibadian seseorang.

    Antara objektif pertandingan adalah untuk menimbulkan rasa kecintaan dan semangat patriotisme terhadap negara dan mengetengahkan peserta tempatan hingga ke peringkat antarabangsa dan luar negara, termasuk persembahan kenegara-an, meluaskan dan memantapkan pengetahuan, penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu standard yang betul dan benar.

    Di samping itu, ia juga bertujuan bagi membina keyakinan diri dan kemahiran komunikasi untuk mampu berucap di hadapan khalayak ramai.

    Pertandingan juga dihasratkan untuk menggalakkan remaja dan belia bagi berfikir, mengolah idea dan mengemukakan pendapat mereka berhubung sesuatu tema yang ditetapkan oleh pihak penganjur, memastikan kemahiran seni ini tidak terus lenyap ditelan zaman bagi menjana daya saing secara positif, dan meluaskan pengetahuan am dan isu-isu semasa dalam dan luar negara.

    Antara peserta yang mengikuti pertandingan peringkat saringan pada sesi pagi bertempat di Bilik Pateh Berbai. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...